Toyota GR Supra Dengan Kit Badan Lebar Varis
Toyota GR Supra dalam versi standard sebenarnya sudah cukup cantik namun ini tidak menghalang syarikat-syarikat talaan di luar sana daripada menghasilkan pakej modifikasi untuk meningkatkan penampilan kereta sport itu. GR Supra berwarna kelabu yang ditampilkan ini adalah antara yang paling menarik setakat ini, dengan sentuhan yang agresif tetapi tidak keterlaluan.
Menjadikan ia lebih menonjol berbanding Supra lain adalah kit badan rekaan Varis, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia berjaya mentransformasikan penampilan Supra ini menerusi penambahan komponen-komponen seperti splitter hadapan, canard, bonet kustom, skirt sisi, gerbang roda lebar serta rekaan diffuser yang agresif. Tidak dilupakan, spoiler belakang yang menjulang tinggi.
Kit badan ini dihasilkan dengan tangan di Jepun dengan kos yang agak tinggi iaitu $13,495. Satu lagi ciri unik jentera ini adalah corong ambilan udara gentian karbon yang menggantikan lampu utama sebelah kanan. Bukan itu sahaja, bumbung asal yang diperbuat daripada aluminium juga telah digantikan dengan panel gentian karbon yang dikatakan 8 kg lebih ringan. Penampilannya dilengkapkan menerusi kehadiran aksen Acid Green di sekeliling badan.
Perubahan pada ruang dalaman tidak begitu ketara, namun masih mampu menampakkan perbezaannya dengan versi standard. Ini termasuk stereng gentian karbon kustom dengan paparan digital dan lampu penukaran gear, kerusi bucket, serta sangkar keselamatan pada bahagian belakang kabin.
Sudah tentu, penggunaan kit badan yang agresif seperti ini tidak akan lengkap tanpa modifikasi enjin. Menurut pemiliknya, enjin 3.0-liter enam silinder sebaris B58 yang dihasilkan oleh BMW itu telah diperkuatkan dengan kit turbo namun beliau tidak mendedahkan jumlah kuasa yang dihasilkan.
No Comment