Toyota GR Supra Jarama Racetrack Edition Hanya Untuk Eropah
Toyota telah memperkenalkan GR Supra Jarama Racetrack Edition, sebuah model edisi terhad yang dinamakan sempena litar Jarama di Sepanyol. Litar itu dipilih kerana ia merupakan lokasi sesi pandu uji media Eropah ketika model itu diperkenalkan pada 2019.
Terhad kepada 90 unit dan eksklusif untuk pasaran Eropah, model ini tampil lebih menonjol dengan warna Horizon Blue, rim 19 inci berwarna hitam serta angkup brek berwarna merah. Ruang kabin pula menampilkan upholsteri Alcantara yang dihiasi dengan jahitan kontras biru dan trim gentian karbon pada papan pemuka. Plak nombor siri pengeluaran serta grafik siluet litar itu pula menunjukkan yang ia bukanlah edisi biasa-biasa.
Dari segi kelengkapan, edisi Jarama ini didatangkan standard dengan peta 3D bagi sistem navigasinya, ciri ketersambungan telefon pintar dan sistem audio dengan 10 pembesar suara. Turut disertakan adalah pakej Supra Safety+ yang merangkumi ciri-ciri bantuan pemandu seperti Pre-Collision Assist, Lane Departure Alert, Adaptive Cruise Control dan Road Sign Recognition.
Bagaimanapun, enjin dibiarkan standard. Ini bermakna enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang dibangunkan oleh BMW itu masih menghasilkan 335 hp dan 500 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat.
No Comment