Volvo XC20 Mungkin Buka Jalan Untuk EV Pertama Proton
Sejurus selepas melancarkan C40 Recharge beberapa hari yang lalu, Volvo turut mengumumkan pelannya untuk menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Jadi, logiklah jika model seterusnya yang datang daripada pengeluar kenderaan Sweden itu adalah kenderaan elektrik (EV).
Menurut laporan daripada Auto Express, Volvo mungkin akan perkenalkan sebuah model SUV subkompak elektrik yang dikenali sebagai XC20. Tidak seperti XC40 dan C40, yang mana kedua-duanya dibina di atas plaform CMA, XC20 dikatakan akan menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) daripada Geely.
Diperkenalkan buat pertama kali di Beijing Auto Show 2020, platform SEA dibangunkan eksklusif untuk kenderaan elektrik bateri. Ia mempunyai beberapa kelebihan, termasuk kebolehan untuk menampung konfigurasi satu, dua atau tiga motor, untuk kenderaan dari segmen A hinggalah segmen D dan E yang lebih besar.
Bercakap kepada Auto Express, presiden dan ketua pegawai eksekutif Volvo Hakan Samuelsson mendedahkan bahawa jurutera syarikat kini sedang membangunkan model-model berasaskan platform SEA dan XC20 adalah salah satu daripadanya.
Tambah beliau, sukar untuk syarikat menggunakan platform CMA, yang merupakan platform gabungan untuk EV dan enjin pembakaran dalam, untuk model yang lebih kecil. Oleh itu, penggunaan platform SEA dilihat sebagai satu langkah yang lebih bijak dan praktikal.
Dengan pengesahan ini, mungkin tidak terlalu mengarut untuk mencadangkan yang platform SEA itu juga mungkin boleh digunakan untuk membangunkan EV pasaran massa pertama Proton. Lagipun, Geely pernah berkata bahawa platform berkenaan akan digunakan secara meluas dalam portfolionya yang terdiri daripada sembilan jenama automatif, termasuk Proton.
Sudah tentu, model EV Proton itu tidak boleh di-rebadge daripada XC20 kerana perbezaan status antara kedua-dua jenama itu. Proton juga tidak boleh menggunakan cara yang sama seperti yang mereka lakukan dengan Geely Boyue dan Binyue untuk X70 dan X50 kerana Geely masih belum mengumumkan model SEA mereka. Model pertama yang akan menggunakan platform itu adalah Lynk & Co Zero Concept, yang dijangka akan memasuki fasa pengeluaran pada tahun ini.
Oleh itu, satu-satunya pilihan yang ada bagi Proton jika mereka mahu menjejakkan kaki ke dalam segmen EV adalah dengan menghasilkan reka bentuk mereka sendiri. Proton mempunyai kemampuan untuk melakukannya kerana seperti yang kita tahu, pasukan reka bentuk Proton telah bekerjasama secara rapat dengan pasukan reka bentuk Geely dan Volvo sejak beberapa tahun yang lalu.
Dengan Perodua baru-baru ini memberikan bayangan tentang elektrifikasi, perang baharu antara kedua-dua pengeluar kenderaan tempatan itu mungkin akan tercetus dalam masa beberapa tahun akan datang dan saingan ini pastinya akan memberikan manfaat kepada pembeli di negara ini.
No Comment