Aplikasi My BMW, MINI Dilancarkan Di Malaysia
BMW Group Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan aplikasi My BMW App dan MINI App baharu yang akan menggantikan aplikasi BMW Connected dan MINI Connected yang sedang digunakan ketika ini. Kedua-duanya boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.
Aplikasi My BMW App dan MINI App hadir dengan penampilan baharu serba intuitif yang menawarkan pengalaman kepenggunaan yang ringkas, serta pelbagai fungsi yang komprehensif untuk menjadikan interaksi antara pemandu dan kenderaan lebih lancar.
Kedua-dua aplikasi ini menawarkan akses segera dan keupayaan untuk mengurus status kenderaan, serta dapat berhubung terus dengan pusat servis BMW atau MINI pilihan masing-masing. Ia juga memudahkan pengguna untuk mengawal fungsi kenderaan BMW atau MINI mereka dari jauh, termasuk pelbagai perkhidmatan navigasi dan e-mobiliti.
My BMW App dan MINI App menampilkan tab Vehicle, Map dan Home. Tab yang pertama memberi akses ke atas perkhidmatan kenderaan berjarak jauh yang meliputi Active Charging, Vehicle Finder, Remote Lock dan Remote Unlock dengan Climate Charge serta Climate Timer.
My BMW App turut merangkumi Remote Engine Start dan Flashlights, di samping Remote Software Upgrades untuk memastikan perisian kenderaan pengguna sentiasa dikemaskini. Selain itu, pengguna dapat menguruskan keperluan servis dan penyenggaraan kenderaan mereka – termasuk penggera servis dan panggilan semula, serta penjadualan janji temu dalam talian.
Jika pengguna menghadapi masalah, BMW Roadside Assistance dan MINI Roadside Assistance juga boleh dihubungi melalui aplikasi baharu ini. Driver’s Guide turut disediakan bagi pemilik BMW dan MINI dalam aplikasi masing-masing.
Fungsi e-mobiliti di bawah tab Vehicle menyediakan gambaran keseluruhan yang ditambah baik ke atas Fuel/Battery Level, Range Status dan Charging Status, serta Charging History. Fungsi pra-penyediaan kenderaan juga ditawarkan sebagai standard demi kemudahan tambahan.
Tab Map membolehkan pengguna kekal termaklum mengenai lokasi dan destinasi yang dituju, selain membawakan fungsi seperti Map Search, dan Point of Interests (POIs) dengan ciri e-mobiliti baharu seperti Nearby Parking dan Charging Spots, Charging Station Details, serta POIs yang dapat dicapai.
Pengguna juga kini boleh menghantar destinasi kepada kenderaan tersebut selain berkongsi lokasi daripada aplikasi eksternal. Range Circle on Map membantu pemilik kenderaan berelektrik mengenal pasti destinasi yang boleh dicapai dalam jarak capaian semasa, berdasarkan lokasi semasa.
Pemilik BMW dan MINI juga boleh meneroka fungsi Message Center dalam aplikasi baharu tersebut, di samping fungsi personalisasi profil –di mana pengguna boleh memuat naik imej yang diperibadikan ke profil pemandu mereka. Eksklusif bagi My BMW App, Connected Drive Store juga boleh diakses dalam aplikasi tersebut, berserta dengan fungsi Discover BMW.
Bukan itu sahaja, pemilik model-model BMW terpilih boleh memadankan BMW Digital Key mereka dengan My BMW App –buat masa ini tersedia bagi telefon pintar iOS sahaja. Untuk menggunakan fungsi BMW Digital Key melalui iPhone, pengguna perlu mengaktifkan Connected Drive Services, dan kenderaan BMW tersebut mesti dihubungkan dengan BMW ID.
No Comment