Ferrari 812 Superfast Edisi Terhad Bakal Hadir Dengan 830 PS
Ferrari telah memperkenalkan model edisi terhad 812 Superfast lebih awal dari pelancaran rasminya yang akan berlangsung pada 5 Mei ini. Model yang belum mempunyai nama ini dikatakan mempunyai gabungan prestasi, bentuk dan fungsi yang sempurna. Sudah tentu, anda perlu mempunyai jemputan khas daripada Ferrari untuk membelinya.
Apa yang istimewa sangat mengenai model ini? Pertama sekali, enjin aspirasi natural V12-nya telah dimodifikasi secara menyeluruh, sekaligus meningkatkan kuasanya dari 800 PS kepada 830 PS. Bukan itu sahaja, tahap redline enjin ini juga menjadi lebih tinggi iaitu 9,500 rpm.
Menurut Ferrari, mereka telah mereka semula kebanyakan komponen utama enjin tersebut, selain menambah mekanisma pemasaan injap dan sistem ekzos baharu.
Selain itu, jentera edisi terhad ini juga menampilkan sistem stereng empat roda bebas bagi mendapatkan pengendalian yang lebih lincah dan responsif. Ciri Side Slip Control versi terkini (7.0) turut disertakan bagi memantau semua aspek berkaitan dinamik pemanduan.
Penggunaan bahan gentian karbon secara meluas pada bahagian luaran dan dalaman membantu mengurangkan berat keseluruhan 812 Superfast, manakala lubang ambilan udara, diffuser belakang dan konfigurasi ekzos yang telah direka semula menyumbang kepada janaan ‘downforce’ yang lebih tinggi.
Jika diperhatikan pada bahagian hadapan, terdapat bilah gentian karbon yang menjadikan bonet kelihatan lebih pendek dan lebar. Sementara itu, di belakang, cermin penghadang angin telah digantikan dengan panel aluminium dengan penjana vortex yang dikatakan mampu meningkatkan kecekapan aerodinamik supercar ini. Walaupun diberikan pelbagai modifikasi, model ini tetap sah untuk digunakan di jalan raya.
No Comment