Honda CBR600RR Masuk Pasaran Malaysia – RM98,888
Segmen supersport di Malaysia nampaknya bakal kembali meriah dengan kehadiran model-model terbaharu. Selepas pelancaran Aprilia RS660 oleh Didi Resources pada bulan lalu, kini tiba giliran Boon Siew Honda pula untuk membawa taruhan mereka iaitu Honda CBR600RR.
Model ini dikuasakan oleh enjin DOHC empat silinder sebaris bersesaran 599 cc yang menghasilkan 119 hp (89 kW) pada 14,000 rpm dan tork puncak 63 Nm pada 11,500 rpm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac Slipper/Assist dan Quick Shifter untuk penukaran gear yang lebih lancar dan pantas.
CBR600RR mempunyai sensor Intertial Measurement Unit (IMU) yang boleh mengesan sudut posisi motosikal. Komponen ini berfungsi bersama dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Engine Control Unit (ECU) untuk mengelakkan tayar belakang daripada tergelincir semasa memecut dan mengambil selekoh.
Terdapat tiga mod tunggangan yang memberikan karakter yang berbeza iaitu Fast Riding, Fun Riding dan Comfortable Riding. Selain itu, penunggang juga boleh menghasilkan dua mod tunggangan mereka sendiri berdasarkan kuasa (lima tahap), HSTC (sembilan tahap + Off), Wheelie Control (tiga tahap + Off) dan Engine Brake (tiga tahap).
Selain itu, terdapat juga Honda Electronic Steering Damper (HESD) yang boleh diselaraskan dengan tiga mod iaitu Hard, Medium dan Soft. Ia berfungsi bersama dengan IMU dan sensor kelajuan bagi tuuan meningkatkan kestabilan apabila menunggang pada kelajuan tinggi dan semasa mengambil selekoh.
Untuk brek pula, CBR600RR mendapat sistem ABS dua saluran, berserta cakera berkembar berukuran 310 mm dengan angkup empat piston pada bahagian depan dan angkup tunggal 220 mm dengan angkup piston tunggal di belakang. Sistem suspensi pula terdiri daripada fork terbalik Showa 41 mm di depan dan Showa Pro-Link di belakang.
Turut disertakan adalah lampu LED berkembar, panel instrumen TFT LCD warna penuh dan Emergency Stop Signal (ESS).
Ditawarkan dalam warna Grand Prix Red, CBR600RR dijual pada harga RM98,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Ia didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.
No Comment