Hyundai Kona Facelift Dilancarkan Di Malaysia
Hyundai Kona versi facelift akhirnya tiba di Malaysia, hanya enam bulan selepas Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan model asalnya.
Kali ini, crossover kompak itu akan ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu Standard dan Active, dengan kedua-duanya mengekalkan enjin petrol Smartstream 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi IVT bagi menghasilkan 149 PS dan 180 Nm. Varian Turbo nampaknya telah dikeluarkan dari barisan 2021.
Selain rekaan luaran yang lebih segar, Kona facelift lebih panjang sebanyak 40 mm, sekaligus memberikannya penampilan yang lebih dinamik. Ini ditambah lagi dengan pilihan rim 17 dan 18 inci baharu.
Kona Standard boleh didapati dalam empat warna iaitu Chalk White, Galactic Grey, Surfy Blue dan Pulse Red, manakala Kona Active pula boleh didapati dalam Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Dark Knight, dan Misty Jungle.
Ruang dalaman turut menyaksikan beberapa perubahan, terutamanya pada bahagian konsol tengah yang kini diasingkan daripada panel instrumen. Model ini juga mendapat pilihan warna dan material baharu, serta beberapa ciri kemudahan seperti brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Hold dan fungsi untuk hidupkan enjin dari jarak jauh.
Bagi sistem infohibur, kedua-dua varian didatangkan dengan skrin AVN berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Androit Auto secara standard. Kona Active mendapat ciri tambahan eksklusif iaitu kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci.
Bukan itu sahaja, varian tertinggi itu juga didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemandu seperti Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Safe Exit Warning (SEW).
Turut disertakan adalah Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Driver Attention Warning (DAW) with Leading Vehicle Departure Alert, Rear Occupant Alert (ROA) dan High Beam Assist (HBA). Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) telah dinaik taraf dengan fungsi pengesanan pejalan kaki dan kenderaan.
Kona Standard dijual pada harga RM119,888 manakala Kona Active pula berharga RM136,888. Model ini didatangkan dengan waranti lima tahun atau 300,000 km, serta pakej servis percuma untuk tiga tahun atau 50,000 km.
No Comment