Ini Mungkin Rupa BMW X8 Yang Akan Datang
Ia bukanlah satu rahsia bahawa BMW X7 akan melahirkan versi coupe yang dikenali sebagai X8. Walaupun naman tersebut belum disahkan secara rasmi, ia bertepatan dengan amalan pengeluar kenderaan dari Jerman itu yang menggunakan nombor genap untuk menamakan model-model berbentuk coupe keluarannya.
Apa yang kita tahu setakat ini mengenai SUV yang akan datang itu? Pertama kali, ia sudah pasti akan dibina menggunakan platform CLAR yang digunakan oleh X7 serta beberapa model lain termasuk X5 (G05). Bagaimanapun, persamaan antara X7 dan X8 terhenti di situ kerana menurut imej render serta gambar intipan, X8 bakal hadir dengan reka bentuk yang lebih menonjol.
Ketepatan imej render yang diperoleh ini mungkin diragui namun ia sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran bagaimana rupa X8 apabila ia dilancarkan pada 2022 nanti. Jika diperhatikan dengan lebih teliti, SUV gergasi itu menampilkan rekaan lampu hadapan bertingkat yang terdiri daripada jalur lampu nyalaan siang yang nipis pada bahagian atas dan kluster lampu utama pada bahagian bampar.
Walaupun diselubungi kontroversi, gril ‘kidney’ yang besar itu akan membuat kemunculannya pada X8, sekaligus mengambil sebahagian besar daripada bahagian hadapannya. Terletak di bawah elemen yang menjadi perbualan hangat itu adalah lubang ambilan udara yang diapit oleh sepasang saluran udara condong atau ‘air curtains’.
Lubang ambilan udara pada X8 M dilihat jelas lebih besar, begitu juga dengan saluran ‘air curtains’ yang kini diletakkan secara menegak, sekaligus menghasilkan bentuk Lihat dengan lebih teliti dan anda juga akan menemui lip spoiler yang terletak pada bahagian bawah bampar serta cermin sisi aerodinamik M.
Menurut laporan, X8 akan menggunakan enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 340 PS dan enjin 4.4-liter twin-turbo V8 dengan 530 PS yang digunakan oleh X7 xDrive40i dan M50i. Untuk X8 M pula, varian berprestasi tinggi itu mungkin akan menerima enjin V8 berkuasa 625 PS yang terdapat pada M5 Competition.
Selain itu, pasaran Amerika Utara juga dikatakan akan mendapat varian hibrid plug-in yang mempunyai kuasa maksimum berjumlah 394 PS dan 600 Nm dari trenkuasa X5 xDrive45e.
No Comment