Porsche 911 Turbo S (992) Dilancarkan – RM2.2 Juta
Porsche 911 Turbo S (generasi 992) telah dilancarkan di Malaysia oleh pengedar rasmi Porsche iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP). Ia dijual pada harga bermula RM2,235,463, termasuk pengecualian cukai SST yang berakhir pada 30 Jun ini.
Merupakan varian tertinggi dalam barisannya, 911 Turbo S dikuasakan oleh enjin boxer 3.8-liter enam silinder yang menghasilkan 650 PS dan 800 Nm dengan bantuan dua pengecas turbo VTG. Transmisi klac berkembar Porsche Doppelkupplung (PDK) lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.7 saat, iaitu 0.2 saat lebih pantas berbanding sebelum ini. Kelajuan maksimum kekal pada 330 km/j.
Sifat lincah model ini disumbangkan oleh jarak ‘track’ yang lebih lebar (42 mm di hadapan dan 10 mm di belakang), serta ciri Porsche Active Aerodynamics (PAA) yang berfungsi untuk menyesuaikan komponen aerodinamik dengan lebih tepat lagi berdasarkan situasi pemanduan, kelajuan dan mod pemanduan yang dipilih. Menurut Porsche, flap penyejuk, spoiler lip hadapan dan spoiler belakang menjana downforce yang lebih tinggi sebanyak 15 peratus.
Satu lagi ciri baharu yang terdapat pada 911 Turbo S adalah mod Wet yang memberikan kestabilan apabila memandu di jalan raya yang basah. Selain itu, fungsi ‘airbrake’ akan diaktifkan apabila pemandu membrek pada kelajuan tinggi, sekaligus memberikan jarak membrek yang lebih pendek, di samping menjadikan kenderaan lebih stabil.
Casis Porsche Active Suspension Management (PASM) yang disertakan secara standard pada 911 Turbo S bukan sahaja lebih rendah sebanyak 10 mm, malah lebih mantap dengan peredam yang mampu memberikan kelebihan dari segi dinamik pemanduan yang membabitkan kestabilan, tingkah laku stereng dan kelajuan di selekoh.
Dari segi kelengkapan, model ini didatangkan dengan lampu LED Matrix serta muncung ekzos berbentuk petak yang disudahkan dengan warna hitam berkilat. Buat pertama kalinya, ia mempunyai rim dan tayar yang berlainan saiz iaitu 20 inci 255/35 di hadapan dan 21 inci 315/30 di belakang.
Ruang dalaman pula menampilkan upholster kulit penuh dan trim karbon yang dipadankan dengan aksen Light Silver. Tempat duduk sport mempunyai pelarasan kuasa 18 hala serta jahitan yang diinspirasikan oleh model 911 Turbo yang pertama (type 930). Turut disertakan adalah skrin 10.9 inci, stereng GT, pakej Sport Chrono dengan aplikasi Porsche Track Precision dan sistem audio BOSE.
No Comment