Porsche Panamera Facelift Dilancarkan – RM1.03 Juta
Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini secara rasminya melancarkan Porsche Panamera facelift di Malaysia. Setakat ini, hanya varian asas diumumkan, dengan harga bermula RM1,026,735 selepas pengecualian SST.
Perubahan pada bahagian luaran termasuk bampar Sport Design yang sebelum ini ditawarkan secara opsen. Ia menampilkan gril lubang ambilan udara yang lebih menonjol serta lubang udara sisi yang lebih besar dengan bar lampu nyalaan siang tunggal. Lampu LED Matrix dengan PDLS Plus turut disertakan secara standard.
Di belakang, kluster lampu LED diberikan rekaan yang lebih segar, begitu juga dengan jalur lampu yang menghubungkan kedua-dua lampu tersebut. Panamera kini mempunyai tiga rekaan rim baharu bersaiz 20 dan 21 inci (termasuk rim Exclusive Design 21 inci), menjadikan kesemuanya 10 pilihan rim. Tayar yang digunakan kini mempunyai rintangan golekan yang lebih rendah.
Di dalam, tidak banyak perubahan yang dilihat kecuali kehadiran stereng multifungsi baharu dengan kawalan terbina dalam. Dari segi sistem bantuan pemandu, Panamera didatangkan standard dengan Lane Keeping Assist dengan pengecaman papan tanda, Night Vision Assist, Lane Change Assist, Park Assist dengan Surround View serta paparan ‘head up’. Buat pertama kalinya, ciri Porsche Connect ditawarkan untuk model ini.
Seperti sebelum ini, kuasa dibekalkan oleh enjin 2.9-liter biturbo V6 dengan 330 PS dan 450 Nm. Dengan kotak gear klac berkembar PDK lapan kelajuan, Panamera mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 270 km/j. Menurut SDAP, fungsi ‘coasting’ transmisi itu telah dinaik taraf untuk pemanduan yang lebih selesa dan cekap bahan api.
Walaupun enjin tidak menerima sebarang penambahbaikan, Porsche telah melakukan pelbagai naik taraf pada casis untuk meningkatkan keselesaan dan kestabilan ketika di selekoh. Ini termasuk pengoptimuman pada penyerap hentak adaptif, penstabil elektronik, sistem stereng, serta cagak enjin dan gandar.
Selain itu, sistem brek yang terdiri daripada angkup aluminium enam dan empat piston, dikatakan lebih ringan dan lebih lasak.
No Comment