Tabung Pahlawan ATM Dilancarkan Di Stesen Minyak BHPetrol
Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol), dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), baru-baru ini telah melancarkan program Tabung Pahlawan ATM di semua stesen BHPetrol di seluruh negara.
Program tersebut dilancarkan di stesen BHPetrol Taman LTAT di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu oleh Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Turut hadir adalah YBhg Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Hj. Khairuddin bin Mat Yusof (B), Pengerusi BHPetrol dan Leslie Ng, Ketua Eksekutif BHPetrol.
Idea untuk menyediakan Tabung Pahlawan ATM di stesen minyak BHPetrol dicetuskan oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia sebagai platfom untuk menghulurkan sumbangan kepada warga bekas tentera. Ahli masyarakat diseru untuk menghulurkan sumbangan ikhlas ke dalam tabung yang disediakan ketika mereka berada di stesen minyak BHPetrol.
Menurut BHPetrol, tabung sumbangan ini telah pun berada di lebih 200 stesen minyak BHPetrol semenjak bulan Februari 2021. Hasil sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada tabung bantuan amal veteran Angkatan Tentera Malaysia di bawah JHEV.
Sebagai sebuah syarikat tempatan Malaysia (GLIC) yang bernaung dibawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holding Berhad, BHPetrol kini terus aktif untuk memperkukuh dan memperkembang rangkaiannya di seluruh negara.
Kini, terdapat 400 buah stesen minyak BHPetrol beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia. BHPetrol akan terus mengembangkan rangkaian stesen minyaknya untuk memberikan kemudahan yang lebih baik kepada para pelanggan.
No Comment