Scania Menjalankan Ujian Rintis Ke Atas Penyelesaian Bahan Api Boleh Diperbaharui dan Elektrifikasi untuk Projek IMBRT IRDA
Scania akan menjalankan ujian rintis ke atas penyelesaian bahan api boleh diperbaharui dan elektrifikasi dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk projek Bas Alihan Cepat Iskandar Malaysia (IMBRT).
Scania akan menjalankan ujian rintis ke atas dua bas di laluan sepanjang 20 kilometer bermula 11 hingga 15 April; melibatkan bas biodiesel berukuran 10 meter panjang untuk penumpang berjadual, dan projek pembangunan Bas Elektrik 12 meter panjang untuk pasukan teknikal IRDA sahaja. Bas Berkapasiti Tinggi 15 meter panjang juga tersedia dipandu uji hanya untuk IRDA.
Pelancaran tersebut dirasmikan oleh YAB Datuk Ir Haji Hasni Haji Muhammad, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Bersama IRDA dan YBhg Prof Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif IRDA. Scania Malaysia diwakili oleh Heba El Tarifi, Pengarah Urusan Scania Southeast Asia.
Bas biodiesel 10 meter panjang dari Scania dijanakan oleh B100. Bas Scania yang disediakan untuk FAME menggunakan semua campuran diesel dan biodiesel yang termasuk B10, B20 dan juga sehingga B100. Ia bersifat mesra alam – berupaya mengurangkan pelepasan global dengan mengurangkan karbon dioksida (CO2) bagi menghadkan kesan perubahan iklim. Kekerapan menaiki bas ini juga membantu merangsang pembangunan pesat industri minyak sawit Malaysia, sekali gus meningkatkan kekayaan rakyat. FAME adalah singkatan untuk Fatty Acid Methyl Esters, iaitu istilah teknikal untuk biodiesel yang dihasilkan di Malaysia.
Projek pembangunan Bas Elektrik 12 meter panjang oleh Scania dan Rakan Kongsi menyingkirkan pelepasan hujung paip (tailpipe) dan mengurangkan kebisingan dengan drive train elektrik. Ini memastikan pengendalian yang lebih cekap di samping perjalanan yang lebih selesa dan selamat, justeru mewujudkan pengalaman positif bagi penumpang. Bahagian dalamannya yang lebih cerah dan lebih lapang adalah hasil reka bentuk yang lebih ringkas namun canggih, menjadikan bas ini lebih mudah untuk dijaga dan dibersihkan.
Bas Berkapasiti Tinggi 15 meter panjang dari Scania meningkatkan pendapatan sambil mengurangkan kos untuk pengendali bas. Ia disediakan dengan tempat duduk tambahan untuk penumpang, ampaian udara, gandar belakang dikemudikan, sistem keselamatan terbina – Sistem Brek Elektronik EBS, Brek Kecemasan Canggih AEB, Sistem Perencat Manual dan Automatik dan Pengehad Kelajuan – kesemuanya untuk perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa untuk penumpang dan juga pemandu dalam persekitaran bandar. Di samping itu, pilihan perjanjian perkongsian Scania Ecolution mampu menurunkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pelepasan CO2 yang dapat menghadkan kesan perubahan iklim.
“Matlamat Scania adalah untuk menerajui peralihan ke arah sistem pengangkutan mapan. Penyertaan kami dalam acara hari ini adalah bukti usaha berterusan Scania ke arah komitmen meluas kami untuk mengurangkan jejak karbon ke sifar bersih menjelang 2050,” kata Heba.
No Comment