Saksikan Perlumbaan Drag Antara Bugatti Chiron Sport Dan Jet Pejuang Dassault Rafale
Perlumbaan antara supercar atau hypercar dan jet pejuang bukanlah ‘stunt’ baharu. Pada 2007, penyampai Top Gear Richard Hammond pernah memandu Bugatti Veyron untuk berlumba dengan Euro Fighter Typhoon. Malah pada tahun yang sama, Lamborghini pernah cuba menewaskan jet Panavia Tornado dengan Reventon.
Sudah tentu, kedua-dua jentera eksotik itu terbukti tidak mampu bersaing dengan jet-jet tersebut namun harus diingat bahawa perlumbaan sebegini tidak boleh diambil serius kerana tujuan utamanya adalah untuk menghiburkan penonton.
Selepas 14 tahun, Bugatti nampaknya ingin menghidupkan kembali persaingan penuh debaran itu. Kali ini, ia mempertaruhkan pengganti Veyron iaitu Chiron Sport untuk mengalahkan saingannya iaitu jet pejuang tentera laut Perancis, Dassault Rafale Marine. Mampukah sebuah hypercar berkuasa 1,500 PS menewaskan sebuah jet pejuang yang mampu menghasilkan daya tujahan mencecah 58,550 Newton (5,727 PS)?
Jawapannya sudah tentu tidak. Bagaimanapun, Chiron Sport itu berjaya menunjukkan yang ia bukanlah calang-calang jentera apabila berjaya mendahului perlumbaan untuk beberapa saat. Namun, dominasi hypercar itu berakhir sekelip mata sebaik sahaja tayar Rafale meninggalkan tarmac.
Untuk pengetahuan, Chiron Sport yang digunakan dalam perlumbaan ini merupakan salah satu daripada 20 unit Chiron Sport ‘Les Légendes du Ciel’ yang dihasilkan bagi memperingati penglibatan pengasas Bugatti dalam industri penerbangan Perancis.
No Comment