Honda Kekalkan Transmisi Manual Untuk Civic Si Dan Type R
Di saat pengeluar-pengeluar kenderaan mula mengetepikan transmisi manual, Honda berkata bahawa mereka akan terus menawarkan transmisi jenis itu bagi Civic Si dan Civic Type R yang akan datang. Perkara itu disahkan oleh wakil perhubungan awam Honda America, Carl Pulley dalam satu video yang memperincikan model generasi ke-11 itu.
“Kita akan bermula dengan sedan, dan ia tidak didatangkan dengan manual, namun hatchback akan datang seterusnya, kami pasti akan mempunyai transmisi manual,” kata Pulley.
“Sudah tentu kami akan menawarkan Si dan sebagai tradisi, ia hanya didatangkan dengan transmisi manual. Dan bagi peminat tegar, ya, kami akan memperkenalkan Civic Type R, dan sekali lagi ia dengan transmisi manual,” tambah beliau.
Bagaimanapun, Honda masih belum mengesahkan bila kedua-dua varian berprestasi ini akan diperkenalkan. Bagi Civic generasi ke-11, ia telah didedahkan di peringkat global pada penghujung bulan lalu dengan dua pilihan enjin iaitu enjin NA 2.0-liter i-VTEC dengan 158 hp dan 187 Nm, dan enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 180 hp dan 240 Nm.
Bagi pasaran Amerika Utara, Civic sedan dipasang di Ontario, Kanada.
No Comment