Hyundai Dedah Maklumat Awal IONIQ 6 Dan IONIQ 7
Selepas memperkenalkan IONIQ 5 beberapa bulan yang lalu, Hyundai kini mendedahkan pula sedikit perincian mengenai dua lagi kenderaan elektrik (EV) mereka yang akan datang iaitu IONIQ 6 dan IONIQ 7.
Menurut syarikat itu, IONIQ 6 akan tiba pada akhir 2022 sebagai pengganti kepada model IONIQ yang asal. Dipertontonkan menerusi kereta konsep Prophecy, ia akan dibina di atas platform E-GMP yang turut digunakan EV keluaran Kia.
Ia akan ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa iaitu konfigurasi motor tunggal dengan 160 kW (218 PS) dan pacuan roda belakang, serta konfigurasi motor berkembar dengan 230 kW (313 PS) dan pacuan semua roda. Dengan bateri berkapasiti 73 kWj, Hyundai mensasarkan jarak pemanduan sejauh 480 km untuk sedan premium saiz pertengahan itu.
Sementara itu, IONIQ 7 pula merupakan SUV tiga barisan tempat duduk yang dijangka hadir pada awal 2024. Ia menawarkan konfigurasi enam dan tujuh tempat duduk dan dikatakan mempunyai saiz yang hampir sama dengan Palisade.
Menurut laporan, ia bakal hadir dengan konfigurasi motor berkembar yang mampu menjana sehingga 230 kW (313 PS), dengan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda. Kuasa dibekalkan oleh pek bateri 100 kWj yang membolehkan SUV itu mencapai jarak pemanduan sejauh 483 km.
No Comment