Mitsubishi Sumbang Sebuah Triton Kepada INSAF Malaysia
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini menyerahkan sumbangan berupa sebuah trak pikap Mitsubishi Triton 4X4 kepada INSAF Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan usaha kemanusiaan. Trak itu akan digunakan untuk beberapa program organisasi berkenaan, terutamanya untuk menghantar barang makanan kepada golongan miskin dan mangsa bencana alam.
Antara program yang dijalankan oleh INSAF adalah bank makanan, pengagihan kotak makanan dan kampit beras kepada rumah anak yatim dan rumah kebajikan, selain mengusahakan ‘Meals on Wheels’ di mana makanan diagihkan kepada warga emas yang ditinggalkan dan hidup sendiri. Selain itu, NGO itu juga membantu membina rumah perlindungan untuk mereka yang terjejas akibat bencana alam.
“Visi CRS kami untuk tahun ini adalah ‘Inspiring Lives Today for a Greater Future’. Misi kami adalah untuk melaksanakan aktiviti CSR yang memberikan bantuan untuk menyokong kanak-kanak yang kurang berkemampuan, dan untuk berkerjasama dengan NGO dalam mempromosikan ekonomi, masyarakat dan persekitaran yang lestari,” kata Tomoyuki Shinnishi, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.
“Jadi, apabila kami mengetahui bahawa usaha kemanusiaan INSAF Malaysia sentiasa bertindak secara sukarela, kami ingin menyokong usaha mereka dengan menyumbang trak pikap Triton dengan harapan NGO itu dapat membantu lebih banyak keluarga yang kurang bernasib baik,” tambah beliau.
Sementara itu, Presiden dan Pengasas INSAF Malaysia, Ishak bin Abdul Kadir berkata, “Kami melakukan segala yang termampu bagi memastikan kanak-kanak atau keluarga tidak berlapar, oleh itu kami sangat gembira apabila syarikat seperti Mitsubishi Motors menghubungi kami untuk menawarkan bantuan. Sumbangan trak pikap ini sangat kami hargai.”
No Comment