Vaksin: GoCar Sediakan Pengangkutan Percuma Untuk Warga Emas Dan Kurang Upaya
Ketika negara berusaha untuk mempercepatkan program vaksinasi COVID-19, aspek pengangkutan yang selamat sering menjadi persoalan, terutama bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan sendiri atau mempunyai mobiliti terhad. Bagi menyokong usaha melawan pandemik ini, GoCar mengumumkan bahawa ia akan menyediakan bantuan pengangkutan menerusi program CSR GoVax.
Program GoVax mempunyai dua objektif. Pertama, menyediakan alternatif yang selamat dan percuma untuk perjalanan pergi balik ke pusat vaksinasi buat penduduk di pasaran di mana GoCar beroperasi iaitu Lembah Klang dan Pulau Pinang. GoCar akan menawarkan penggunaan kenderaan selama tiga jam secara percuma bagi tujuan janji temu vaksinasi menerusi kod promo “GOVAX”.
Objektif kedua adalah untuk membantu warga emas dan golongan kurang upaya yang tinggal di daerah Petaling dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan pergi- balik secara percuma ke pusat vaksinasi seperti di Hospital Shah Alam, Klinik Rakan Medik Petaling Jaya dan Sunway Pyramid Convention Centre.
Untuk permulaan, syarikat akan bekerjasama dengan ADUN Kampung Tunku, YB Lim Yi Wei untuk menawarkan bantuan kepada rumah-rumah penjagaan orang tua, warga emas dan golongan kurang upaya yang tinggal di daerah Petaling, merangkumi kawasan Petaling Jaya, Subang Jaya, sebahagian Shah Alam dan Kota Damansara.
Keutamaan diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu kurang upaya yang tidak mempunyai kenderaan sendiri atau sukar mengakses pengangkutan awam. Namun, mereka yang memiliki masalah mobiliti perlu ditemani oleh seseorang yang berpengalaman, sama ada penjaga, rakan atau ahli keluarga.
Untuk menempah perkhidmatan pengangkutan percuma GoVax, ikuti langkah-langkah mudah berikut:
- Langkah 1: Pastikan temu janji vaksinasi telah disahkan oleh kerajaan. Notifikasi akan diberi menerusi aplikasi MySejahtera dan SMS
- Langkah 2: Hubungi pasukan GoVax sekurang-kurangnya tiga hari sebelum temu janji vaksinasi dengan menelefon hotline 24/7 di talian 1 300-30-2633. Slot adalah terhad dan akan diberi berdasarkan kepada siapa cepat, dia dapat. Anda akan diminta untuk memberikan nama, nombor IC, nombor telefon bimbit dan alamat bagi tujuan pengesahan serta koordinasi lokasi
- Langkah 3: Individu daripada pasukan GoVax akan menghubungi anda untuk mengesahkan masa perkhidmatan pengangkutan percuma berdasarkan kepada slot yang ada
- Langkah 4: Bersedia sekurang-kurangnya setengah jam sebelum masa anda dijemput bersama kad pengenalan dan telefon pintar sebagai bukti pengesahan temu janji vaksinasi
- Langkah 5: Ulang langkah 1-4 untuk temu janji kedua vaksinasi anda
Mereka yang sudah menerima suntikan vaksin pertama layak untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan percuma GoVax bagi suntikan kedua. Apa yang perlu mereka lakukan ialah ikuti langkah 1-4 untuk menempah. Perkhidmatan ini boleh didapati mulai sekarang hingga 31 Ogos 2021.
No Comment