Volkswagen Golf GTI Manhart Hadir Dengan 290 PS, 425 Nm
Sementara Malaysia masih menunggu pelancaran Volkswagen Golf Mk8, syarikat talaan dari Jerman iaitu Manhart telah pun siap membangunkan pakej naik taraf untuk varian prestasi iaitu Golf GTI. Naik taraf untuk hot hatch itu merangkumi aspek penampilan luaran dan dalaman dan yang paling penting, prestasi.
Jika dilihat pada penampilannya, sebenarnya tidak banyak perubahan yang dilakukan pada bahagian luaran jentera ini namun kehadiran diffuser baharu dan serta set pelekat jalur merah sedikit sebanyak membuatkan ia kelihatan lebih garang.
Selain itu, rim Venturi berukuran 19 inci yang didatangkan dalam warna hitam matte sutera dan gegelung H&R yang lebih rendah sebanyak 40 mm memberikannya ‘stance’ yang cukup agresif.
Jika ‘tuner’ lain sering menaik taraf ruang kabin dengan menggunakan trim gentian karbon atau Alcantara, Manhart mengambil pendekatan yang berbeza dengan menambah lampu-lampu LED kecil pada pelapik bumbung, tidak ubah seperti Starlight Headliner yang terdapat pada model-model Rolls-Royce.
Di bawah hud, suntikan tambahan yang dibekalkan oleh modul MHtronik melonjakkan kuasa yang dihasilkan oleh enjin TFSI 2.0-liter empat silinder itu dari 245 PS/370 Nm kepada 290 PS/425 Nm. Tiada sebarang talaan dilakukan terhadap transmisi DSG tujuh kelajuan asal.
Manhart tidak mendedahkan prestasi jentera talaannya ini, namun kuasa tambahan sebanyak 45 PS dan 55 Nm itu sudah pasti dapat mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimumnya.
Selain enjin dan suspensi, Manhart juga boleh menaiktaraf sistem brek dan ekzos jika terdapat permintaan dari pelanggan.
No Comment