Bugatti Chiron Super Sport Mampu Pecut Sehingga 440 Km/j
Sekali pandang, Super Sport nampak sama sahaja seperti versi-versi Chiron lain yang diperkenalkan sebelum ini. Jadi apa yang membezakan hasil tangan terbaru Bugatti ini?
Menurut presiden Bugatti, Stephan Winkelmann, Chiron Super Sport adalah sebuah “grand tourer” yang menggabungkan “kelajuan maksimum dengan kemewahan”. Ia mempunyai beberapa persamaan dengan jentera yang memecah rekod kelajuan melebihi 300 batu sejam iaitu Chiron Super Sport 300+, terutamanya dari segi aerodinamik. Antaranya adalah:
- tirai udara sisi pada bampar hadapan
- sembilan lubang udara ekzos pada bahagian fender
- empat muncung ekzos yang disusun secara bertindih
- diffuser lebih besar
- bahagian belakang lebih panjang 25 cm
Roda aluminium Y-spoke yang anda lihat ini adalah eksklusif untuk Chiron Super Sport dan ianya boleh dinaik taraf kepada versi diamond-cut atau magnesium. Ia dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang telah dioptimumkan dan diperkuatkan untuk mencapai kelajuan maksimum.
Seperti Super Sport 300+, enjin 8.0-liter W16 pada Super Sport masih menghasilkan 1,600 PS dan 1,600 Nm. Namun, dengan modifikasi pada pengecas turbo, pam minyak, kepala silinder, transmisi dan klac, tahap putaran atau rpm-nya telah dinaikkan sebanyak 300 kepada 7,100 rpm, manakala tork pula tersedia dari 2,000 hingga 7,000 rpm, berbanding 6,000 rpm ke atas sebelum ini.
Ini membolehkan Chiron Super Sport memecut dari 0 hingga 200 km/j dalam 5.8 saat dan hingga 300 km/j dalam 12.1 saat. Tambah Bugatti lagi, jentera ini mampu melakukan pecutan 0-400 km/j tujuh peratus lebih pantas berbanding Chiron ‘biasa’. Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 440 km/j.
Bagi casis pula, Bugatti telah memperkuatkan sistem stereng dan peredam, di samping menggunakan spring yang lebih keras bagi mendapatkan tahap kestabilan lebih tinggi pada kelajuan maksimum. Casis yang dikawal secara elektronik itu turut ditala semula dan kini berupaya bertindak balas dalam enam milisaat. Super Sport didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu EB, Handling, Autobahn dan Top Speed.
Menurut syarikat itu, fasa pengeluaran Super Sport akan dimulakan tidak lama lagi di Molsheim, Perancis, manakala penyerahan pula dijadualkan bermula tahun hadapan. Jumlah pengeluaran model ini tidak diketahui namun apa yang pasti hypercar ini akan dijual pada harga 3.2 juta euro (RM15.9 juta) seunit.
No Comment