Hyundai Alcazar Lancar Di India Bulan Ini
Permintaan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) di India semakin lama semakin meningkat. Dengan demikian, pelbagai model baharu dilancarkan di negara itu hampir setiap tahun. Ada pesaing terbaru yang akan menyertai segmen itu pada bulan ini dan ia adalah SUV tiga baris tempat duduk keluaran Hyundai yang dikenali sebagai Alcazar. Ia kini dibuka untuk tempahan dengan yuran sebanyak 25,000 rupee (RM1,405).
Menggunakan platform Creta yang dipanjangkan, Alcazar akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Kedua-duanya boleh dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan:
- enjin petrol MPi 2.0-liter dengn 159 PS pada 6,500 rpm dan 191 Nm pada 4,500 rpm
- enjin diesel CRDi dengan 115 PS pada 4,000 rpm dan 250 Nm dari 1,500 hingga 2,750 rpm
Dari segi elektronik, SUV ini didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Eco dan Sport, manakala sistem kawalan cengkamannya (Traction Control) juga mempunyai tiga mod iaitu Snow, Sand dan Mud.
Melihat kepada laman web Hyundai India, kelebihan utama Alcazar adalah ruang kabinnya. Ukuran tapak roda yang besar iaitu 2,760 mm memberikannya ruang kabin yang luas yang boleh memuatkan tiga barisan tempat duduk. Versi enam tempat duduk mempunyai konfigurasi 2-2-2 dengan kerusi kapten pada barisan kedua, manakala versi tujuh tempat duduk pula mempunyai tempat duduk jenis bangku pada barisan kedua.
Bagi menambah lagi kemudahan dan keselesaan, Hyundai turut menyertakan meja lipat dengan pemegang cawan dan peranti, penghadang matahari gelongsor, ‘sunshade’ pada tingkap belakang serta bumbung suria panoramik yang boleh dibuka dengan kawalan suara.
Sistem infohibur pula terdiri daripada kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci, skrin sentuh tengah dalam saiz yang sama dan sistem audio premium Bose. Ciri-ciri lain yang ada termasuklah sistem pembersih udara automatik, ciri pelarasan lapan hala pada tempat duduk pemandu, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan lampu lopak air (puddle lamp) dengan projektor logo Hyundai.
Sama ada Alcazar akan tiba di Malaysia atau tidak, kami tidak dapat pastikan namun berdasarkan situasi ekonomi semasa, peluangnya sangat tipis. Lagi pun, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) tidak akan terburu-buru untuk membawa masuk model ini kerana mereka sudah mempunyai Santa Fe yang juga mempunyai tiga barisan tempat duduk.
No Comment