Berita Auto

Ini Mungkin Rupa Mazda CX-50 Yang Akan Datang

Ia bukanlah satu rahsia yang Mazda ingin meletakkan diri mereka sebagai jenama premium alternatif kepada pengeluar-pengeluar kenderaan Eropah yang sedia ada. Mazda3 dan CX-30 sedikit sebanyak menunjukkan kemampuan Mazda dalam menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi dan kini, pengeluar dari Hiroshima itu ingin terus membuktikan yang mereka layak bersaing dalam segmen premium dengan produk yang akan datang iaitu CX-50.

Seperti yang boleh dilihat menerusi gambar di atas, CX-50 adalah crossover bergaya dengan bentuk badan seakan coupe dan ia dihasilkan untuk memberi saingan kepada BMW X4, Mercedes-Benz GLC Coupe dan Audi Q5 Sportback. Walaupun ia bukan imej rasmi yang disiarkan oleh Mazda, lakaran digital atau ‘rendering’ ini memberikan bayangan yang jelas tentang reka bentuk model itu.

Ya, kami faham tidak semua menggemari crossover coupe namun dalam kes CX-50, konsep reka bentuk Kodo nampak sangat sesuai dengan bentuk badannya. Gabungan gril tidak berbingkai dan lampu hadapan yang langsing secara tidak langsung menghasilkan ‘wajah’ yang garang, manakala garis bumbung yang rendah, serta garisan-garisan tajam pada bahagian hud dan sisi badan, memberikan model ini profil sisi yang sporty.

Seperti CX-30, kemasan plastik digunakan untuk menghiasai bahagian bawah badan CX-50 namun ia tidaklah setebal mana. Jarak antara gerbang roda dan tayar tampak agak besar di sini namun ini adalah antara elemen reka bentuk yang biasa bagi sebuah crossover urban.

Mazda CX-30

Bagi aspek teknikal pula, CX-50 dilaporkan akan menggunakan platform pacuan roda belakang (RWD) baharu yang dikenali sebagai Large Architecture. Di bawah hud, model ini berkemungkinan mempunyai enjin petrol 3.0-liter enam silinder sebaris baharu, dengan satu atau dua pengecas turbo. Enjin diesel dan hibrid plug-in (PHEV), serta versi pacuan semua roda (AWD) turut dikatakan berada dalam perancangan Mazda.

Selain itu, ada ura-ura yang mengatakan bahawa CX-50 akan membuat kemunculan seawal November tahun ini di Los Angeles Auto Show 2021. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Previous post

BYD Akan Memenuhi Pesanan Bas Elektrik Terbesar di UK

Next post

Toyota Supra 'Fast & Furious' Dilelong Pada Harga RM2.3 Juta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *