Kenapa Saya Tidak Beli Kereta Baharu Semasa Tempoh Pengecualian SST
Pengecualian cukai jualan (SST) untuk kenderaan pemasangan tempatan dan import yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun lalu sedikit sebanyak membantu meningkatkan jualan kenderaan dalam era pandemik ini. Walaupun ‘tawaran’ seperti ini tidak selalu berlaku dan potongan harga yang diberikan agak menarik, saya secara peribadinya tidak akan mengambil kesempatan yang ada ini untuk membeli kereta baharu atas beberapa sebab.
Sebelum itu, ingin saya nyatakan yang saya memiliki sebuah Perodua Myvi 1.3 SE keluaran tahun 2013. Kereta ini berada dalam keadaan yang baik dan masih digunakan sehingga ke hari ini. Apa yang lebih penting, pinjaman sewa beli untuk kereta ini telah diselesaikan sepenuhnya. Pernah juga terfikir untuk membeli sebuah kereta baharu sebagai kenderaan kedua atau menjual Myvi tersebut dan membeli kereta lain yang lebih besar, namun setelah membuat pertimbangan, saya memutuskan untuk terus menggunakan kereta yang ada ini sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi.
Masih belum betul-betul mampu memiliki kereta idaman
Ada beberapa perkara yang mendorong saya untuk kekal dengan Myvi ini. Pertama sekali, kereta yang saya sasarkan iaitu Honda City (RM74,191-RM105,950) atau Nissan Almera Turbo (RM83,888-RM95,888) berada betul-betul di atas sempadan kemampuan. Katakan saya membuat bayaran muka 10 peratus dan bank pula memberikan kadar faedah 3 peratus untuk tempoh pinjaman selama sembilan tahun, saya perlu menanggung ansuran bulanan antara RM800 hingga RM1,000 (bergantung kepada model dan varian), iaitu hampir dua kali ganda berbanding apa yang saya bayar untuk Myvi. Tambahan pula, perbezaan harga sebelum dan selepas pengecualian SST tidaklah terlalu ketara.
Tidak perlu diperkatakan lagi yang Almera/City dan Myvi memang jauh berbeza dari segi jenama, kualiti, prestasi, kelengkapan, saiz dan sebagainya namun adakah kedua-dua sedan ‘Jepun’ itu dua kali ganda lebih hebat berbanding hatchback Rawang ini? Mungkin ya, mungkin tidak. Apa apa pun, perbezaan ansuran bulanan yang agak ketara itu menjadi halangan utama buat saya. Ini belum dikira lagi kos pemilikan seperti servis, alat ganti, petrol, cukai jalan, insurans dan pelbagai lagi. Bagi saya, mampu membayar ansuran bulanan tidak bermaksud mampu untuk memiliki sesuatu kereta itu.
Bukan masa yang sesuai tambah hutang
Kedua, saya kira sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk menambah beban hutang. Walaupun pengecualian SST bermakna anda berpeluang menikmati potongan harga, harus diingat bahawa pembelian kereta adalah satu komitmen yang besar bagi kebanyakan orang, apatah lagi jika pinjaman yang dibuat bertempoh tujuh hingga sembilan tahun. Ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang sangat goyah akibat pandemik COVID-19, siapa tahu anda mungkin termasuk ke dalam jerat kewangan.
Saya bernasib baik kerana masih mempunyai pekerjaan. Namun begitu, saya tidak berani untuk mengambil risiko sebesar itu dengan membeli kereta baharu pada waktu ini. Ini kerana sejujurnya saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, selain tiada jaminan yang keadaan akan bertambah baik selepas ini. Oleh itu, lebih wajar jika saya gunakan lebihan wang yang ada itu untuk perkara lain.
Myvi masih ok
Akhir sekali, Myvi milik saya masih berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan, walaupun sudah berusia lapan tahun. Dari segi penyelenggaraan, kos menjaga hatchback itu sangat berpatutan dan alat ganti juga mudah dicari, sama ada menerusi saluran rasmi iaitu pusat servis Perodua atau saluran ‘tidak rasmi’ seperti Shopee atau kedai alat ganti luar. Namun, apa yang paling saya suka adalah ia tidak pernah mengalami apa-apa kerosakan luar biasa. Pendek kata, ia tidak pernah membuatkan saya pening kepala.
Tidak dinafikan City dan Almera menawarkan pemanduan yang lebih baik, penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan dan ruang kabin yang lebih selesa. Bagaimanapun buat masa ini, Myvi yang sedia ada itu dilihat masih cukup selesa untuk keluarga kecil saya. Sudah tentu, jika ada peluang dan apabila keadaan ekonomi semasa menjadi lebih baik dan meyakinkan, lambat laun Myvi itu akan ditukar-beli juga dengan salah satu model yang saya inginkan itu. Akan tetapi, ia bukanlah satu keputusan yang mudah kerana sebagai kereta pertama yang dibeli setelah mendapat pekerjaan, ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada saya.
No Comment