Mercedes-AMG G63 Ditukar Menjadi Brabus Rocket 900
‘Rocket 900’ adalah gelaran yang diberikan oleh Brabus kepada jentera-jentera talaannya yang mempunyai tahap kuasa yang tinggi dan pecutan yang mengagumkan. Selepas Mercedes-AMG GT63 S yang diperkenalkan pada tahun lalu, G63 kini muncul sebagai model terbaru yang diberikan penghormatan untuk menggunakan gelaran yang digeruni ramai itu.
Walaupun ia jelas sebuah SUV, Brabus mendakwa hasil tangan terbarunya ini adalah sebuah supercar. Tidak hairanlah kerana enjin twin-turbo V8 miliknya telah ditala bagi menghasilkan 900 hp pada 6,200 rpm. Menurut syarikat itu, enjin tersebut boleh menjana tork sehingga 1,250 Nm, namun jumlah tersebut dikurangkan kepada 1,050 Nm bagi melindungi komponen dalamannya.
Bagi mendapatkan peningkatkan kuasa yang signifikan ini, Brabus menggunakan pengecas turbo yang lebih besar, serta melakukan pemetaan semula suntikan, pencucuhan dan kawalan boost pada unit kawalan enjin (ECU). Apa yang lebih menarik, sesaran enjin tersebut juga telah ditingkatkan dari 4.0 liter sebelum ini kepada 4.5 liter.
Walaupun mempunyai berat keseluruhan sekitar 2.5 tan, jentara ini ternyata mampu menandingi supercar yang jauh lebih ringan dengan pecutan 0-100 km/j yang dilakukan dalam 3.7 saat dan kelajuan maksimum 280 km/j. Sudah tentu, enjin tersebut mampu memacu pada kelajuan yang lebih tinggi namun kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik untuk menjaga tayarnya.
Selain itu, gabungan saluran ambilan udara yang diintegrasikan ke dalam gril dan downpipe berukuran tiga inci menghasilkan bunyi yang cukup mengagumkan. Tidak cukup dengan itu, pemandu juga boleh menguatkan lagi bunyi ekzos dengan mengaktifkan mod Sport. Bagaimanapun, mereka yang tidak ingin mengganggu ketenteraman jiran tetangga boleh menggunakan mod Coming Home.
Brabus berkata pengeluaran G63 Rocket 900 terhad kepada 25 unit sahaja dan setiap satu ditawarkan pada harga bermula dari €571,270 (RM2.8 juta).
No Comment