Muflis Akibat Beli Kereta Baharu Yang Bermasalah?
Bagi kebanyakan orang, membeli kereta baharu umpama mimpi menjadi kenyataan. Manakan tidak, setelah bertahun-tahun bekerja keras mencari duit dan tidak kurang juga mengikat perut, akhirnya jentera yang diidam-idamkan berjaya juga dimiliki.
Namun, ada di antara mereka yang tidak bernasib baik apabila kereta yang baru dibeli dibelenggu pelbagai masalah. Walaupun sudah berkali-kali dihantar ke pusat servis bertauliah dan pelbagai aduan dibuat kepada pihak atasan syarikat, masalah yang sama masih lagi timbul. Lebih teruk lagi, ada yang terpaksa meninggalkan kereta mereka di pusat servis berbulan-bulan lamanya kerana punca masalah tidak dijumpai atau ketiadaan stok alat ganti.
Isu-isu seperti ini mungkin jarang kita dengar namun ia wujud dan berlaku di serata dunia termasuk Malaysia. Percaya atau tidak, masalah ini tidak berlaku kepada kenderaan-kenderaan keluaran jenama tempatan yang mampu milik sahaja. Kereta-kereta berjenama Jepun, Korea dan Eropah yang berharga ratusan ribu juga tidak terlepas dari mendapat ‘penyakit’ yang boleh memeningkan kepala pemiliknya.
Sebagai contoh, Proton Perdana V6 yang pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia satu masa dahulu terkenal dengan masalah kotak gear. Seperti yang kita sedia maklum, sebarang masalah berkaitan transmisi adalah serius dan dalam kebanyakan kes, pembaikan sahaja tidak cukup. Penggantian unit transmisi baharu mungkin dapat menyelesaikan masalah, namun ia bersifat sementara dan kosnya pula sangat tinggi.
Pelepasan cukai ke atas model hibrid yang dinikmati oleh Audi A6 Hybrid dan Mercedes-Benz E300 Bluetec Hybrid menjadikan kedua-dua model ini begitu laris di pasaran namun namun selepas beberapa tahun, ada pemilik yang mula mengalami menghadapi masalah dengan bateri sistem hibrid. Harus diingat bahawa bateri adalah komponen terpenting bagi sebuah kereta hibrid. Tanpanya, kereta langsung tidak boleh berfungsi.
Kebiasaannya, keseluruhan unit bateri berkenaan harus digantikan jika terdapat sebarang kerosakan. Oleh kerana pelepasan cukai tidak diberikan ke atas alat ganti, kos penggantian bateri sangatlah tinggi. Untuk A6 Hybrid, harga penggantian bateri hibrid adalah RM108,000, manakala bateri E300 pula berharga RM50,000 seunit. Sudah tentu, ini tidak termasuk kos penyelenggaraan, ‘wear and tear’ serta masalah-masalah lain yang mungkin timbul.
Harga-harga tersebut adalah tinggi, walaupun bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk memiliki kenderaan Jerman. Pemilik yang tidak sudah larat menanggung beban ini akan memilih ‘jalan keluar’ mudah dengan menjual kereta mereka pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga ketika dibeli. Ini lebih baik berbanding menanggung kerugian yang berterusan dan berasa sakit hati setiap kali kereta tersadai di tepi jalan.
Bergantung kepada keadaan, kerugian yang ditanggung mungkin tidak cukup untuk membuatkan seseorang itu jatuh muflis, namun ia masih satu kerugian dan ia sudah tentu akan menjejaskan perancangan kewangan pada masa hadapan. Jadi, apakah yang boleh dilakukan bagi melindungi pembeli apabila mereka menghadapi masalah seperti ini?
Pada pendapat penulis, pihak berkuasa perlu mewujudkan “lemon laws” seperti yang digunakan di Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura. Definisinya berbeza mengikut negara, namun “lemon” secara asasnya adalah terma yang diberikan kepada kereta baharu yang mempunyai kerosakan yang kerosakan (defect) yang tidak boleh diselesaikan selepas beberapa percubaan untuk membaik pulih. Di bawah undang-undang ini, pemilik yang keretanya diklasifikasikan sebagai “lemon” berhak untuk mendapatkan bayaran balik atau kereta ganti daripada pihak pengeluar.
Dari sudut lain, kita sebagai pengguna juga harus bijak ketika membuat pembelian. Buat kajian mengenai model yang ingin dibeli terlebih dahulu dan dapatkan maklumat-maklumat penting seperti masalah yang sering dialami atau perkhidmatan selepas jualan. Cara yang terbaik adalah dengan menyertai laman kelab pemilik di Facebook, di mana pemilik sering berkongsi masalah atau isu yang dihadapi. Dari sini, anda sudah mempunyai sedikit idea tentang pengalaman pemilikan sesuatu model itu.
Selain itu, pilihlah kenderaan yang menepati bajet anda. Ramai pembeli hanya melihat harga jualan dan tidak mengambil kira kos-kos pemilikan seperti penyelenggaraan, alat ganti, insurans, penggunaan bahan api dan sebagainya ketika membuat pembelian. Mereka menganggap yang mereka sudah mampu memiliki kereta itu jika mereka boleh memenuhi komitmen ansuranan bulanan. Tanggapan ini salah dan boleh menyebabkan beban kewangan pada masa akan datang.
No Comment