Nissan Bakal Lancar Navara PRO-4X Warrior Di Australia
Nissan kini dalam fasa terakhir menyiapkan Navara PRO-4X Warrior, sebuah versi yang lebih ‘rugged’ yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat kejuruteraan automotif terkenal Australia iaitu Premcar.
Perincian teknikal mengenai model flagship itu masih belum didedahkan, namun menurut Nissan, ia direka khas mengikut kondisi jalan raya dan off-road di negara itu. Pada masa yang sama, aspek keselesaan dan praktikaliti tidak akan dikorbankan kerana ia akan tampil dengan tahap kelengkapan yang sama dengan Navara PRO-4X.
Ini termasuklah sistem infohibur yang terdiri daripada skrin sentuh 8.0 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital 7.0 inci, upholsteri kulit, serta ciri-ciri bantuan pemandu seperti Intelligent Forward Collision Warning dan Intelligent Emergency Braking.
Pengarah urusan Nissan Australia, Stephen Lester berkata Navara PRO-4X Warrior akan meneruskan legasi Navara N-TREK Warrior yang dilancarkan dua tahun lalu.
Sementara itu, pengarah kejuruteraan Premcar, Bernie Quinn pula berkata syarikat itu menetapkan sasaran untuk menghasilkan Navara yang paling gagah di dunia dengan menggabungkan ciri-ciri sedia ada pada Navara PRO-4X dengan kepakaran kejuruteraan yang dimiliki oleh kakitangannya.
Buat masa ini, Navara PRO-4X Warrior nampaknya akan ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Australia. Bagaimanapun, jika Nissan untuk menjualnya di pasaran global, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mungkin patut mempertimbangkan untuk membawanya masuk bagi memberi saingan kepada Ford Ranger Raptor yang sangat popular di kalangan peminat trak pikap tempatan.
No Comment