Perodua Yakin Capai Sasaran Jualan 240,000 Unit
Dengan jualan sebanyak 96,281 unit kenderaan dalam lima bulan pertama 2021, Perodua yakin dapat mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 240,000 unit bagi tahun ini walaupun berhadapan dengan situasi pandemik serta isu kekurangan semikonduktor.
“Jualan Perodua setakat Mei tahun ini adalah sebanyak 96,281 unit, mewakili peningkatan 82% berbanding 52,920 kenderaan yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2020. Namun, pada tahun tersebut, Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa antara Mac dan Mei,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, di mana Perodua menjual 105,745 unit dalam lima bulan pertama tahun tersebut, iaitu 8.9% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun ini.
“Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12% daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.
“Walaupun berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian tambahan, kami percaya bahawa kami mampu mencapai sasaran 240,000 unit kami bagi tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model kami,” ujar Dato’ Zainal.
Tambah beliau lagi, Perodua berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini, sekaligs membantu syarikat itu menampung permintaan, menggalakkan ekonomi dan membantu mengekalkan ekosistem automotif negara.
Mengenai operasi pusat servis Perodua dalam tempoh sekatan ini, Dato’ Zainal berkata bahawa para pelanggan boleh menghubungi pusat servis yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Bagi penghantaran kenderaan baharu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami yang dihargai atas kefahaman dan kesabaran mereka dalam menunggu kenderaan Perodua mereka,” tambah beliau.
Perodua telah menghasilkan 18,283 kenderaan pada Mei, meningkatkan jumlah pengeluarannya setakat tahun ini kepada 98,944 unit.
No Comment