Polestar 3 Diacah, Bakal Dihasilkan Di Amerika Syarikat
Berikutan kejayaan model Polestar 1 dan Polestar 2, Polestar kini telah memulakan kempen teaser untuk model ketiganya iaitu… Polestar 3. Tidak seperti model-model sebelum ini yang dipasang di China, hasil tangan terbaharu dari Polestar ini akan dipasang di Amerika Syarikat.
Digelar sebagai “SUV elektrik berprestasi yang aerodinamik”, Polestar 3 akan dihasilkan di kilang pengeluaran Volvo Cars di Ridgeville, South Carolina, di mana Volvo S60 dipasang sejak 2018. CEO Polestar, Dennis Nobelius berkata dengan langkah ini, masa yang diambil untuk penghantaran dapat dipendekkan manakala pelanggan juga akan menikmati harga yang lebih rendah.
Bukan itu sahaja, ia juga akan memberikan impak positif kepada alam sekitar kerana Polestar tidak lagi perlu menggunakan kapal laut untuk menghantar kenderaan mereka dari China ke Amerika Syarikat.
Tambah Polestar lagi, pengumuman ini adalah bukti komitmen mereka terhadap pasaran AS. Tahun ini, syarikat itu akan membuka kira-kira 25 bilik pameran Polestar Space yang menawarkan perkhidmatan seperti pandu uji di rumah, pengambilan dan penghantaran percuma serta servis mudah alih.
Perincian teknikal mengenai Polestar 3 masih belum didedahkan namun menurut Polestar, ia akan dibina menggunakan platform EV serba baharu dari Volvo Car Group. SUV itu akan menampilkan ciri ketersambungan berasaskan sistem infohibur Android Automotive OS, serta ciri pemanduan autonomi. Pengeluarannya akan bermula pada tahun hadapan.
No Comment