Porsche 911 GT2 RS Pecah Rekod Kereta Produksi Di Nurburgring
Dengan enjin turbo berkembar 3.8-liter enam silinder yang menjana 700 PS dan 750 Nm, Porsche 911 GT2 RS adalah jentera yang sangat pantas. Ditambah pula dengan kit prestasi Manthey, anda akan mempunyai sebuah kereta yang mampu memecahkan rekod. Sebenarnya, itulah yang dilakukan oleh Porsche dengan kereta sport flagship ini apabila mereka berjaya mencatat masa 6 minit 43.3 saat di litar Nurburgring Nordschelife.
Pencapaian terbaru yang dilakukan oleh pemandu pembangunan Porsche, Lars Kern ini meletakkan 911 GT2 RS di hadapan pemegang rekod kereta produksi sebelum ini iaitu Mercedes-AMG GT Black Series dengan perbezaan masa 4.747 saat. Di atas kertas, jentera Black Series itu sebenarnya lebih berkuasa dengan 730 PS dan 800 Nm yang dibekalkan oleh enjin biturbo 4.0-liter V8.
Berbalik kepada GT2 RS, pakej prestasi kit Manthey yang dibangunkan dengan kerjasama Porsche Tequipment memberikan kereta itu sedikit kelebihan aerodinamik menerusi flap tambahan pada spoiler hadapan, pelindung bawah badan karbon, pemandu udara pada kawasan roda hadapan, spoiler belakang dan diffuser baharu serta cakera aero pada roda belakang.
Menurut Porsche, kehadiran komponen-komponen berkenaan meningkatkan downforce dari 49 kepada 70 kg pada kelajuan 200 km/j pada gandar hadapan, dan dari 93 kepada 200 kg pada kelajuan yang sama pada gandar belakang.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan coilover boleh laras (tiga tahap tetapan pada peredam hadapan, empat pada peredam belakang), ped brek perlumbaan untuk cakera seramik dan jalur brek yang diselaputi keluli. Gabungan rim magnesium berukuran 20 dan 21 inci dari pakej Weissach dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang sah untuk digunakan di jalan raya pula memberikan tahap cengkaman yang tinggi pada permukaan litar sepanjang 20.8 km itu.
Menurut Porsche, kit prestasi Manthey direka khas untuk pelanggan mereka yang gemar beraksi di litar lumba dan oleh itu, ia boleh dibeli sebagai satu set lengkap menerusi Porsche Centre. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan di Eropah namun pasaran-pasaran lain akan menyusul kemudian.
No Comment