Porsche 911 GT3 Kini Boleh Dipesan Dengan Pakej Touring
Dengan rekod pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat, Porsche 911 GT3 (generasi 992) yang diperkenalkan pada awal tahun ini adalah antara jentera 911 terpantas yang pernah dihasilkan oleh jenama itu. Kehebatan jentera itu diperlihatkan menerusi reka bentuknya dengan spoiler belakang dan bukaan yang besar pada bampar hadapan.
Namun, bukan semua pelanggan Porsche gemarkan penampilan yang agresif seperti itu. Ada di antara mereka, terutamanya yang berusia dan matang, lebih suka tampil secara bersahaja. Untuk menarik minat golongan ini, Porsche telah memperkenalkan pakej Touring yang menawarkan penggayaan yang lebih santai dengan tahap kuasa dan prestasi yang sama.
Perbezaan paling ketara antara 911 GT3 Touring dan standard adalah versi ini tidak lagi mempunyai spoiler belakang gergasi. Ia digantikan dengan spoiler lebih kecil yang boleh dinaikkan atau diturunkan secara automatik. Bampar hadapan kini didatangkan dalam warna yang sama dengan badan, manakala trim tingkap dan ekzos diberikan kemasan perak yang boleh dinaik taraf kepada kemasan satin hitam. Di belakang pula terdapat logo GT3 Touring.
Selain itu, rim berukuran 20 inci dan 21 inci dikekalkan, begitu juga dengan pilihan warna dan upholsteri untuk bahagian dalaman. Cuma, model Touring ini didatangkan standard dengan upholsteri kulit hitam. Pelanggan yang mahukan sentuhan lebih eksklusif boleh memilih warna lain untuk upholsteri bahagian bawah papan pemuka.
Kuasa masih lagi dibekalkan oleh enjin 4.0-liter enam silinder yang menghasilkan 502 hp dan 470 Nm, manakala pilihan kotak gear pula terdiri daripada manual enam kelajuan dan PDK tujuh kelajuan. Bagaimanapun, di Amerika Syarikat, 911 GT3 dengan transmisi manual hanya ditawarkan di negeri-negeri terpilih sahaja. Sebagai contoh, model tersebut diharamkan di California disebabkan peraturan bunyi bising yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri itu.
Ini bukanlah kali pertama Porsche menawarkan pakej Touring untuk 911 GT3. Sebelum ini, pada 2017, syarikat itu pernah memperkenalkan pakej yang sama untuk 911 GT3 generasi 991.2. Apa yang menarik, ia hanya boleh didapati dengan transmisi manual.
No Comment