Porsche 911 GTS – Alternatif Kepada Carrera Dan Turbo
Diposisikan antara 911 Carrera dan 911 Turbo, ahli terbaharu dalam keluarga Porsche 992 iaitu 911 GTS tampil dengan gabungan prestasi, gaya dan emosi. Dalam erti kata lain, ia adalah pilihan terbaik untuk mereka yang mahukan sesuatu yang lebih berkuasa dari Carrera namun tidak terlalu agresif seperti Turbo.
Terletak di belakang kabin adalah enjin turbo 3.0-liter enam silinder yang menghasilkan 480 PS dan 570 Nm. Sebagai perbandingan, Carrera S yang dikuasakan oleh enjin yang sama mempunyai 450 PS dan 530 Nm, manakala Turbo pula mempunyai 580 PS dan 780 Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.8-liter twin-turbo enam silinder.
Untuk model ini, Porsche menawarkan transmisi PDK lapan kelajuan secara standard namun pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan transmisi manual tujuh kelajuan. Model yang dilengkapi dengan PDK dan pacuan semua roda boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.3 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelum ini.
Selain enjin yang lebih berkuasa, penambahbaikan lain yang terdapat pada 911 GTS termasuklah peredam Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan suspensi 10 mm lebih rendah, sistem brek berprestasi tinggi dari 911 Turbo dan sistem ekzos sport.
Seperti sebelum ini, model GTS didatangkan standard dengan pakej Sport Design yang merangkumi trim berwarna hitam pada lampu hadapan dan belakang, lip spoiler dan lencana ‘GTS’. Ia memakai rim yang sama dengan 911 Turbo, berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang. Turut disertakan secara standard adalah lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System Plus. Model ini boleh didapati dalam versi Coupe, Cabriolet dan Targa.
Ruang dalaman pula menampilkan upholsteri Race-Tex, kemasan gentian karbon, tempat duduk Sport Seats Plus, stereng GT Sport dan beberapa kelengkapan lain seperti pakej Sport Chrono, aplikasi Porsche Track Precision, serta sistem infohibur Porsche Communication Management (PCM) dengan Apple CarPlay, Android Auto dan sistem arahan suara yang boleh diaktifkan dengan mengungkap frasa “Hey Porsche”.
Apa yang menarik, Porsche turut menawarkan pakej Lightweight Design yang boleh mengurangkan berat keseluruhan kenderaan sebanyak 25 kg. Pakej ini merangkumi tempat duduk ‘bucket’ gentian karbon CFRP, kaca tingkap dan bateri yang lebih ringan, serta pembuangan tempat duduk belakang. Bukan itu sahaja, pelanggan yang memilih pakej ini juga akan mendapat sistem kawalan stereng roda belakang dan sentuhan penyudah aerodinamik tambahan.
No Comment