Bisnes

Tesla Bakal Buka Pusat Servis Pertama Di Singapura

Berikutan kemasukan semula Tesla ke pasaran Singapura pada Februari lalu, pengeluar kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat itu kini dilaporkan akan beroperasi dari sebuah fasiliti di Toa Payoh. Menurut The Straits Times, bangunan tersebut sebelum ini merupakan bilik pameran Nissan milik Tan Chong Motor.

Beralamat di 17 Lorong 8 Toa Payoh, fasiliti tersebut dijangka akan dijadikan sebagai sebuah pusat servis yang mungkin akan dibuka pada bulan hadapan. Untuk bilik pameran pula, Tesla dilaporkan akan membuka beberapa “kedai pengalaman” di lokasi-lokasi tumpuan ramai seperti Pusat Beli-Belah Raffles City dan Lapangan Terbang Jewel Changi.

Seperti di AS, kedai pengalaman ini akan menjadi lokasi di mana Tesla mempamerkan model-model keluarannya. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh membuat tempahan slot pandu uji di sini.

Tesla Model 3

Selain itu, The Straits Times turut melaporkan yang Tesla telah melantik Christopher Bousigues sebagai pengurus negara untuk pejabat mereka di Singapura. Warganegara Perancis berumur 45 tahun itu sebelum ini bekerja di firma perisian SAP dan juga Microsoft.

Beliau yang merupakan pemegang ijazah kejuruteraan mekanikal, pemasaran antarabangsa dan juga Master of Business Administration (MBA), turut mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta dan gemar beraksi di litar lumba.

Dengan pelantikan ini, Tesla Singapura nampaknya sudah bersedia untuk memulakan operasi mereka bila-bila masa sahaja. Buat masa ini, hanya Model 3 dibuka untuk tempahan namun tidak mustahil Tesla akan menawarkan keseluruhan rangkaian modelnya di negara itu sebaik sahaja pusat servisnya dibuka.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang ingin memiliki kereta Tesla hanya boleh mendapatkan unit ‘recond’ yang dibawa masuk oleh pengimport-pengimport tidak rasmi. Harga yang ditawarkan mungkin lebih murah berbanding unit baharu namun bagaimana dengan sokongan selepas jualan? Ke mana anda akan hantar kereta Tesla anda sekiranya ia mengalami kerosakan mekanikal?

Melihat kepada Dasar Automotif Nasional (NAP) yang tidak mesra EV dan juga jumlah stesen pengecas yang masih lagi rendah (kira-kira 500 unit di seluruh negara setakat ini), harapan untuk pengeluar-pengeluar EV seperti Tesla memulakan operasi mereka di sini tampak kabur.

Previous post

Mampukah Anda Membeli Sebuah Crossover Baharu Tahun Ini

Next post

Mercedes-AMG G63 Ditukar Menjadi Brabus Rocket 900

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *