Berita Auto

Volkswagen Polo GTI Facelift Kekal Dengan 207 PS, 320 Nm

Seperti yang dijanjikan, Volkswagen hari ini telah memperkenalkan Polo GTI versi yang dipertingkatkan. Ia mengekalkan tema reka bentuk yang ditampilkan menerusi Polo facelift pada April lalu namun dengan elemen yang spesifik kepada GTI, selain hadir dengan pelbagai kelengkapan terkini.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-72

Antara elemen yang dimaksudkan adalah rekaan bampar yang lebih sporty, gril honeycomb dengan jalur lampu seperti Golf GTI, muncung ekzos berkembar serta aksen merah pada lampu hadapan, gril, dapra dan angkup brek. Hatchback ini didatangkan dengan lampu matrix LED, rim berukuran 17 inci (boleh dinaik taraf kepada unit 18 inci) serta lima pilihan warna iaitu Deep Black Pearl Effect, Smoke Grey Metallic, Kings Red Metallic, Pure White Uni, dan Reef Blue Metallic. Opsyen bumbung hitam disediakan untuk tiga warna terakhir.

Di dalam, tiang dan pelapik bumbung didatangkan dalam warna tradisi GTI iaitu Titanium Black, manakala tempat duduk pula dihiasi dengan corak tartan yang cukup sinonim dengan model ini. Warna merah digunakan dengan lebih meluas di sini, iaitu pada papan pemuka, tombol gear, konsol tengah dan stereng. Jahitan kontras pada stereng dan tempat duduk juga didatangkan dalam warna yang sama.

Dari segi kelengkapan, Polo GTI didatangkan standard dengan skrin sentuh berukuran 8.0 inci, stereng sport serta beberapa ciri pemanduan separa autonomi di bawah payung IQ.Drive Travel Assist. Antara kelengkapan yang ditawarkan secara opsyen termasuklah sistem infohibur Discover Pro dengan skrin 9.2 inci, kluster instrumen Digital Cokcpit Pro 10.25 inci, bumbung suria panoramik dan sistem audio Beats. Di belakang, model ini menyediakan ruang but berkapasiti 351 liter.

Sayangnya, tiada tambahan kuasa untuk model facelift ini. Seperti Polo GTI yang sedia ada, enjin turbo 2.0-liter empat silinder itu menjana 207 PS dan 320 Nm. Dengan transmisi klac berkembar (DSG) tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, ia tidak mempunyai masalah untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum 240 km/j.

Resepi untuk casis juga masih sama iaitu sistem suspensi yang lebih rendah sebanyak 15 mm dan differential elektronik. Mereka yang mahukan prestasi pengendalian yang lebih mantap boleh mendapatkan peredam adaptif Sport Select yang boleh menyesuaikan karakter suspensi mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Volkswagen Polo GTI Facelift
Previous post

BMW 2 Series Coupe Bakal Beraksi Di Goodwood Festival Of Speed

Next post

19 Rakyat Malaysia Telah Membeli Lexus LM Yang Bernilai RM1.1 Juta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *