Berita Auto

Abarth 695 Esseesse Model Terlaju Dalam Barisannya

Kereta kecil yang ‘berjiwa besar’ iaitu Abarth 695 kini boleh didapati dalam versi Esseesse (SS) yang akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad. Model ini juga merupakan yang terpantas dalam barisannya, dengan prestasi pecutan dan pengendalian yang dipertingkatkan.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-8

Dari segi rekaan, 695 Esseesse diinspirasikan oleh model keluaran 1964 yang menggunakan nama yang sama. Ini dapat dilihat menerusi perincian berwarna putih pada spoiler depan dan belakang, cermin sisi, pelekat pada bahagian sisi badan dan rim. Berukuran 17 inci, rim berkenaan juga mempunyai penutup tengah berwarna merah.

Di belakang, hatchback ini menampilkan spoiler boleh laras (sehingga 60 darjah) yang mana menurut Abarth, boleh menjana downforce tambahan sebanyak 42 kg pada kelajuan 200 km/j. Bukan itu sahaja, penggunaan bonet aluminium serta sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic pula mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 10 kg jika dibandingkan degnan Abarth 595 Competizione.

Untuk ruang dalaman, Abarth menggunakan upholsteri Alcantara untuk membalut papan pemuka dan trim gentian karbon pada tuil gear, pedal dan stereng. Terdapat juga sulaman “one of 695” pada perehat kepala, tali pinggang keledar Sabelt berwarna merah dan jahitan kontras dalam warna yang sama dengan badan.

Dari segi kelengkapan, 695 Esseesse didatangkan dengan sistem infotainmen Uconnect yang merangkumi skrin sentuh berukuran tujuh inci dengan Apple CarPlay, Android Auto dan navigasi satelit.

Di bawah hud, terdapat enjin 1.4-liter T-jet menghasilkan 180 hp dan 250 Nm pada 3,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi manual secara standard, namun pelanggan juga boleh mendapatkan versi automatik. Menurut Abarth, ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j, dengan spoiler berada pada kedudukan 0 darjah.

Abarth 695 Esseesse

Model ini juga didatangkan standard dengan penyerap hentak Koni FSD pada kedua-dua gandar dan sistem brek Brembo dengan angkup empat piston dan cakera berukuran 305 mm di depan dan 240 mm di belakang.

Pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 1,390 unit sahaja, di mana 695 unit daripadanya didatangkan dalam warna Scorpion Black dan selebihnya dalam Campovolo Grey.

Previous post

Mazda Meraikan 30 Tahun Sejak Kemenangan Le Mans

Next post

Lego Technic Perkenal Set Ford F-150 Raptor - $99.99

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *