Amalgam Collection Hasilkan Model Ford GT40 Dalam Skala 1:8
Ford GT40 adalah antara kereta lumba paling ikonik sepanjang zaman. Apa yang menarik, ia terlahir daripada dendam Henry Ford II terhadap Enzo Ferrari selepas pengasas jenama supercar Itali itu enggan menjual syarikatnya kepada Ford.
Kini, jentera itu telah diabadikan sebagai model skala 1:8 yang dihasilkan oleh Amalgam Collection, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi bagi peminat dan pengumpul model skala. Menurut syarikat itu, model ini dibina berasaskan casis #1075 yang membantu Jacky Ickx dan Jackie Oliver merangkul kemenangan di 24 Hours of Le Mans pada 1969. Ia mengambil masa 24 bulan untuk dibangunkan dengan kerjasama Ford Archive and Heritage serta Gulf Oil International.
Seperti yang boleh dilihat, hasilnya sangat mengagumkan dan segala perincian yang terdapat pada model skala ini membuatkan ia kelihatan tidak ubah seperti kereta sebenar. Ia dibina dengan tangan oleh sepasukan kecil tukang yang mahir dan setiap unit dikatakan mengambil masa kira-kira 400 jam untuk disiapkan.
Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana model skala GT40 ini mempunyai ribuan komponen di dalamnya, termasuk logam mesin CNC. Tambah Amalgam lagi, ia mempunyai ukuran panjang 20 inci (50 cm) dan diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti tinggi.
Berminat untuk mendapatkannya? Anda harus cepat kerana pengeluaran model skala ini akan dihadkan kepada 199 unit sahaja. Harganya juga mungkin boleh membuatkan anda terduduk seketika iaitu $13,006 (sekitar RM55,000). Ia mungkin tidak masuk akal, namun itulah harga yang perlu dibayar untuk memiliki sesuatu yang dihasilkan dengan penuh teliti. Tambahan pula, ia dihasilkan dalam jumlah yang cukup kecil.
No Comment