Berita Auto

BMW 320i Sport Kini Didatangkan Dengan Live Cockpit Professional

Dilancarkan pada Januari tahun lalu, BMW 320i Sport versi pemasangan tempatan kini hadir dengan penambahbaikan teknikal untuk model tahun 2021. Sebenarnya, hanya satu ciri baharu yang diberikan kepada sedan itu iaitu sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA

Menjanjikan akses yang lebih mudah kepada pelbagai maklumat penting, sistem itu merangkumi paparan tengah berukuran 10.25 inci dengan resolusi 1920X720 dan kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci. Turut digunakan pada model 330i, ia menggantikan paparan 8.8 inci dan instrumen 5.1 inci yang merupakan sebahagian daripada sistem BMW Live Cockpit Plus sebelum ini.

Paparan yang lebih besar ini menawarkan lebih banyak ruang di tengah untuk navigasi dan pelbagai maklumat penting lain, manakala warna dan grafiknya boleh dikonfigurasikan mengikut mod pemanduan yang dipilih iaitu Sport, Comfort dan Eco Pro. Sistem infohibur ini dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 7.0 (BMW Operating System 7.0) yang terkini.

Melengkapkan sistem ini adalah BMW Intelligent Personal Assistant yang memanfaatkan elemen suara untuk membolehkan pemandu mengawal fungsi-fungsi kenderaan, navigasi, dan sistem hiburan dengan lebih mudah. Ia boleh diaktifkan dengan menuturkan “Hey BMW” atau perkataan lain yang ditentukan oleh pengguna.

Di samping itu, BMW ConnectedDrive terus menawarkan para pemilik Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) serta Telekhidmat (Teleservices) yang akan bertindak balas secara automatik jika berlaku kemalangan.

Seperti sebelum ini, 320i Sport dikuasakan oleh enjin petrol TwinPower Turbo 2.0 liter, dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan. Dengan 184 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm pada 1,350 hingga 4,000 rpm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 235 km/j.

Turut disertakan adalah lampu kabus LED hadapan, rim aloi V-Spoke Style 780 Bicolour yang bersaiz 18 inci, serta ciri-ciri seperti Bantuan Mengundur (Reversing Assistant) dan kamera pandang belakang. Model ini boleh didapati dalam lima warna iaitu Phytonic Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange, dipadankan dengan upholsteri kulit hitam Vernasca.

Dengan pengecualian SST, serta waranti lanjutan dan pakej servis, 320i Sport baharu dijual pada harga RM243,883.65.

Previous post

Volvo Concept Recharge Manifesto Masa Depan Elektrik

Next post

Lamborghini Aventador: 10 Inovasi Dalam 10 Tahun

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *