Motosikal / Skuter / Roda

BMW CE 04 Skuter Elektrik ‘Revolusi Senyap’ Terbaharu Dari Munich

Skuter elektrik keluaran BMW yang diperkenalkan sebagai Concept Link pada 2017 dan kemudiannya sebagai Definition CE 04 pada 2020, kini sedia untuk memasuki fasa produksi. Dikenali dengan nama rasmi CE 04, skuter itu membuka lembaran baharu dalam mobiliti urban dua roda dengan pelbagai teknologi yang canggih. Ia menggantikan C evolution yang dijual dari 2014 hingga 2020.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-21

Penampilannya tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan Definition CE 04, dengan reka bentuk yang futuristik dan bahagian badan yang agak besar bagi menempatkan bateri dan pelbagai lagi komponen. CE 04 didatangkan standard dengan lampu LED, rim berukuran 15 inci dalam rekaan seperti cakera serta tempat duduk rata “terapung”.

Menurut BMW, model ini menggunakan motor elektrik yang sama seperti yang terdapat pada 225xe Active Tourer. Dipasang pada kerangka yang terletak antara bateri dan tayar belakang, motor tersebut menjana 42 hp bagi membolehkan ia memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam 2.6 saat dan memecut sehingga 120 km/j.

Kuasa untuk motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri berkapasiti 8.9 kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 130 km dengan satu cas penuh. Bateri tersebut boleh dicas sepenuhnya dalam masa empat jam 20 minit menerusi pengecas standard atau dalam satu jam 40 minit dengan menggunakan pengecas pantas.

Sistem elektroniknya terdiri daripada Automatic Stability Control (ASC) yang berfungsi untuk menghalang tayar belakang daripada tergelinci dengan mengurangkan penyaluran tork, serta tiga mod tunggangan iaitu ECO, Rain dan Road. Sementara itu, Dynamic Traction Control (DTC) dan mod Dynamic pula ditawarkan secara berasingan. Maklumat seperti peta navigasi dan ciri ketersambungan pula boleh diakses menerusi skrin warna TFT berukuran 10.25 inci.

Tersembunyi di sebalik panel yang futuristik ini adalah kerangka tiub keluli yang dipadankan dengan fork teleskopik 35 mm di hadapan dan lengan ayun tunggal dengan topang gegelung di belakang. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 120/70 R15 di hadapan dan 160/60 R15 di belakang.

BMW CE 04

Sistem membrek pula terdiri daripada cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang, lengkap dengan ABS. Untuk tahap keselamatan yang lebih tinggi, pelanggan boleh mendapatkan ABS Pro yang dilengkapi dengan ‘banking sensor’.

Previous post

Toyota GR Yaris Hot Hatch Sudah Habis Dijual Seluruh Dunia Selama Dua Tahun

Next post

2021 Moratorium Diperjelaskan Secara terperinci: Tawaran CIMB Yang Mencurigakan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *