Emira – Kereta Dengan Enjin Pembakaran Dalaman Terakhir Lotus
Lotus mungkin sudah memasuki era elektrik menerusi hypercar pertamanya iaitu Evija namun sebelum mereka meninggalkan dunia enjin pembakaran dalaman buat selama-lamanya, pembuat kereta sport British itu telah melancarkan model terakhir mereka yang mempunyai enjin iaitu Emira.
Menggantikan Elise, Exige dan Evora, Emira yang sebelum ini dikenali dengan kod nama ‘Type 131’ dibangunkan di atas platform Sports Car Architecture baharu yang menggunakan teknologi casis aluminium yang sama seperti Elise. Bagaimanapun, ia mempunyai dimensi yang berbeza iaitu 4,412 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,225 mm tinggi dan tapak roda 2,575 mm.
Ini menjadikannya lebih dekat dengan Evora berbanding Exige dan Elise dari segi saiz, dengan ukuran tapak roda yang sama dengan model itu. Saiz Emira dicerminkan pada beratnya, yang mana menurut Lotus adalah sekitar 1,405 kg.
Seperti model-model Lotus yang terdahulu, Emira hadir dengan konfigurasi enjin tengah yang diletakkan di belakang kabin dan pacuan roda belakang. Model ini akan dilancarkan dalam versi ‘First Edition’ edisi terhad yang dikuasakan oleh enjin supercharged 3.5-liter V6 keluaran Toyota. Enjin ini bukanlah sesuatu yang asing bagi peminat Lotus kerana ia pernah digunakan pada Exige dan Evora.
Apa yang menarik, Lotus juga akan menawarkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dihasilkan oleh AMG. Oleh kerana ia akan dipasang pada bahagian belakang, enjin ini diberikan sistem ambilan udara dan sistem ekzos baharu. Versi ini akan memasuki pasaran bermula musim panas tahun hadapan.
Menurut Lotus, terdapat tiga jenis transmisi yang disediakan untuk Emira iaitu manual, automatik dan automatik klac berkembar (DCT). Kuasa yang dihasilkan adalah antara 360 dan 400 hp, manakala tork maksimum adalah 430 Nm. Dari segi prestasi, versi yang paling berkuasa boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.
Emira didatangkan standard dengan rim 20 inci yang dibalut tayar Goodyear Eagle F1 Supersport, namun pelanggan boleh mendapatkan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 menerusi pakej Lotus Drivers Pack. Pakej ini turut merangkumi Launch Control dan sistem suspensi yang lebih keras.
Jika dibandingkan dengan model-model Lotus yang terdahulu, ruang dalaman Emira memperlihatkan peningkatan yang signifikan dari segi reka bentuk, pemasangan, material yang digunakan dan juga kelengkapan. Bercakap tentang kelengkapan, model ini didatangkan dengan kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci serta skrin sentuh 10.25 inci lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay.
Selain itu, Lotus turut menyertakan pelbagai ciri-ciri kemudahan dan keselesaan seperti pelarasan elektrik 12 hala untuk tempat duduk pemandu dan penumpang, Keyless Go, Cruise Control, cermin pandang belakang dengan ciri malap automatik, sensor parkir belakang dan pelbagai lagi.
Pelanggan juga boleh memilih sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Anti-Collision System, Fatigue Alert, Road Sign Information, Vehicle Speed Limiter, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Change Assist.
Emira akan dipasang di kilang Lotus di Hethel, Norfolk yang telah ditambah baik dengan pelaburan berjumlah £100 juta (RM574 juta). Menurut syarikat itu, harga jualannya bermula kurang dari £60,000 (RM344,298).
No Comment