Harga Rasmi BMW 330Li M Sport CKD Diumumkan – RM277,164
BMW Malaysia hari ini telah mengumumkan harga rasmi bagi BMW 330Li M Sport yang dipertontonkan buat pertama kali pada April lalu. Sedan dengan ukuran tapak roda yang lebih panjang itu dijual pada harga RM277,164.22 (atas jalan, tanpa insurans) selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan. Dengan pakej waranti dan servis lanjutan, harganya adalah RM290,284.22.
Model ini boleh didapati di semua pusat pengedar BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai 16 Julai 2021. Bagaimanapun, sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang terkini, para pelanggan digalakkan untuk membuat kunjungan dalam talian platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/.
Dari segi penampilan, 330Li M Sport tidak ubah seperti 330i M Sport namun sebagai model ‘long wheelbase’, ukuran tapak rodanya telah dipanjangkan sebanyak 110 mm kepada 2,961 mm. Bukan itu sahaja, ukuran tingginya juga bertambah sebanyak 6 mm kepada 1,441 mm.
Ia didatangkan standard dengan pakej kit badan M Aerodynamics dan M Sport, termasuk rim aloi berukuran 18 inci dalam rekaan Double-Spoke 848 M dwiwarna, paip ekzos berkembar berbentuk trapezium serta bumbung kaca panorama. Hanya dua warna ditawarkan untuk model ini iaitu Mineral White dan Carbon Black.
Tapak roda yang lebih panjang dan bumbung yang lebih tinggi secara tidak langsung menjadikan ruang kaki penumpang belakang lebih luas sebanyak 42 mm dan ruang lega kepala bertambah sebanyak 4 mm. Selain itu, ruang kabin dihiasi dengan trim Aluminium Tetragon dan kemasan Pearl Chrome, serta upholsteri kulit Vernasca berwarna Mocha.
Antara kelengkapan standard yang disertakan termasuklah sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional dengan paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci, BMW Navigation System Professional dengan paparan sentuh 10.25 inci, pencahayaan ambien dengan 11 pilihan warna, penyaman udara automatik tiga zon, sistem audio HiFi dan sistem Comfort Access.
330Li dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan. Dengan kuasa berjumlah 258 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm, sedan pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Ia juga didatangkan dengan Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan, Bantuan Parkir dengan cermin pandang belakang, sistem Keselamatan Pejalan Kaki Aktif BMW (BMW Active Pedestrian Safety), amaran pengeluaran laluan, amaran penukaran laluan, amaran perlanggaran hadapan, amaran rentas trafik serta pencegahan perlanggaran belakang.
No Comment