Hennessey Rai Ulang Tahun Dengan ‘Exorcist’ Camaro ZL1 Edisi Khas
Bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-30, syarikat talaan dari Texas iaitu Hennessey Performance Engineering (HPE) akan menawarkan Exorcist Camaro ZL1 ’30th Anniversary Edition’ kepada pelanggan mereka. Pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 30 unit sahaja, menjadikan jumlah Exorcist Camaro ZL1 yang dihasilkan 100 unit kesemuanya .
Diperkenalkan pada 2017, Exorcist Camaro ZL1 dibangunkan khas untuk mencabar Dodge Demon. Enjin supercharged 6.2-liter V8 telah ditala untuk menghasilkan 1,014 PS pada 6,500 rpm dan 1,198 Nm pada 4,500 rpm. Dengan output yang tinggi ini, ia memerlukan 2.1 saat sahaja untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j, selain boleh melakukan pecutan suku batu dalam 9.57 saat pada kelajuan 237 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 349 km/j.
Naik taraf yang disertakan pada model ini termasuklah supercharger dan sistem induksi udara ‘high flow’, aci engkol kustom, sistem bahan api bantuan, spring injap dan ekzos, ‘header’ keluli tahan karat, sistem kalibrasi pengurusan enjin HPE dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun, tidak banyak yang membezakan model edisi ulang tahun ini dengan versi ‘standard’ selain logo khas pada bahagian sisi dan plak nombor siri pengeluaran yang dilekatkan pada casis.
Menurut Hennessey, Exorcist Camaro ZL1 ’30th Anniversary Edition’ boleh dipesan oleh pelanggan dari Amerika Syarikat mahupun negara luar. Ia ditawarkan pada harga bermula dari $135,000 (RM570,400) dan boleh didapati dalam bentuk coupe atau convertible, dengan pilihan transmisi manual atau automatik.
Setiap unit didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 24,000 batu (38,620 km).
No Comment