Hyundai Grand Starex Kini Didatangkan Standard Dengan Sistem Telematik
Dalam usahanya untuk memberikan lebih ketenangan minda kepada pemilik, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan yang semua Hyundai Grand Starex yang berdaftar dari 1 Mei tahun ini didatangkan dengan Sistem Telematik (Telematics System).
Seperti BMW Roadside Assistance dan Vehicle Telematics System (VTS) yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Sistem Telematik membolehkan pemandu mendapatkan perkhidmatan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan, dan membantu mengesan dan melaporkan kenderaan yang dicuri.
Turut disertakan adalah khidmat rencam (concierge) yang membolehkan pemilik menempah slot janji temu servis dengan lebih mudah.
Sistem Telematik didatangkan dengan enam perkhidmatan kesemuanya seperti berikut:
- eCall: Automatic Accident Detection
- Manual eCall: Emergency Assistance
- bCall: Breakdown Assistance
- Service Assist
- Mobile App – Connected Security Features
- Stolen Vehicle Tracking
Manual eCall membolehkan panggilan SOS dilakukan dengan segera dengan menekan butang SOS yang terletak di atas konsol Grand Starex. Secure Operating Centre (SOC) akan menghantar bantuan yang diperlukan selepas pengesahan dibuat.
Bagaimanapun, sekiranya sistem tersebut mengesan impak yang lebih kuat, amaran kemalangan akan diaktifkan secara automatik menerusi eCall. SOC akan terus menghubungi pemilik untuk memeriksa keadaan. Sekiranya tidak ada sebarang respon dari pemilik, ambulans dan polis akan dihantar secara automatik ke lokasi.
Sementara itu, bCall berfungsi untuk menyalurkan bantuan kecemasan sekiranya berlaku kerosakan. Sistem Telematik juga didatangkan dengan aplikasi mudah alih yang mempunyai pelbagai ciri, seperti penjejakan lokasi kenderaan, mengaktifkan hon dan lampu isyarat, melaporkan kecurian kenderaan, merakamkan perjalanan dan analisis tingkah laku pemandu.
Service Assist pula memberikan kemudahan kepada pemilik dengan mengesan jarak perjalanan kenderaan menerusi satelit dan memaklumkan pusat servis Hyundai untuk tempahan slot servis. Turut disertakan adalah peringatan untuk pembaharuan insurans dan cukai jualan.
Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata Sistem Telematik diberikan percuma untuk tiga tahun pertama. Selepas itu, pemilik boleh memperbaharuinya dengan bayaran RM380 setahun. Ia didatangkan dengan pakej servis percuma tiga tahun atau 50,000 km dan jaminan 300,000 km.
Grand Starex boleh didapati dalam dua varian iaitu Grand Starex A2.5L CRDi Executive Plus yang dijual pada harga RM165,888 dan Grand Starex A2.5L CRDi Executive Prime yang berharga RM173,888.
No Comment