Hyundai Kona 1.6 Turbo, N Line Kini Dibuka Untuk Tempahan
Selepas melancarkan Hyundai Kona 2.0 facelift pada April lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini mengumumkan bahawa ia akan membawa masuk varian 1.6 Turbo N Line dan 1.6 Turbo pula. Tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan, namun ketiba kedua-dua varian tersebut bakal menjadikan Kona SUV segmen B paling berkuasa dalam pasaran tempatan.
Kedua-dua varian tersebut berkongsi enjin turbo empat silinder Smartstream G1.6 T-GDi yang menghasilkan 198 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan (Smartstream 7DCT) generasi kedua yang memacu roda hadapan.
Bagaimanapun, Kona N Line membezakan dirinya dengan varian standard menerusi kit badan yang sporty. Bampar hadapannya diberikan rekaan yang berbeza dan didatangkan dalam warna yang sama dengan badan. Selain itu, terdapat juga ‘lip spoiler’, manakala logo Hyundai dialihkan ke tengah gril bagi memberi ruang kepada tiga lubang udara di bawah garisan hud.
Sementara itu, bampar belakang pula didominasi oleh diffuser berwarna hitam yang besar dan muncung ekzos berkembar. Kona N Line juga mendapat rekaan rim lebih besar berukuran 18 inci dengan rekaan yang lebih menarik. Ruang dalaman juga lebih menonjol dengan upholsteri kulit/baldu, jahitan kontras berwarna merah dan logo N pada stereng, tuil gear dan tempat duduk.
Seperti Kona 2.0 Active, varian-varian 1.6 Turbo ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif dan teknologi bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang merangkumi ciri-ciri seperti Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Safe Exit Warning (SEW), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA) dan pelbagai lagi.
Menurut HSDM, Kona 1.6 Turbo N Line dan 1.6 Turbo kini dibuka untuk tempahan menerusi platform dalam talian Hyundai iaitu Cl!ck to Buy atau hubungi mana-mana bilik pameran Hyundai yang terdekat. Harga masih belum diumumkan.
No Comment