Lamborghini Catat Rekod Jualan Separuh Tahun Tertinggi Dalam Sejarah
Anda mungkin pernah dengar yang golongan kaya menjadi semakin kaya ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19. Sukar untuk dipercayai tetapi ia benar. Senarai Jutawan Dunia Forbes 2021 mendedahkan bahawa dunia kini mempunyai seramai 2,755 jutawan, iaitu 660 lebih ramai berbanding tahun lalu. Daripada jumlah keseluruhan itu, 493 adalah muka baharu. Jadi tidak hairanlah pengeluar supercar seperti Lamborghini berjaya mencatat jualan separuh tahun tertinggi dalam sejarahnya.
Menurut syarikat itu, mereka berjaya menjual sebanyak 4,852 unit kenderaan dalam tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan 6.6 peratus lebih tinggi berbanding separuh pertama tahun 2019 (zaman pra-COVID). Bukan itu sahaja, tempahan yang diterima juga sudah cukup untuk 10 bulan seterusnya sehingga April 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini Stephan Winkelmann berkata, “Ini adalah bukti kekukuhan dan kekuatan jenama ini, yang menikmati daya tarikan yang semakin meningkat walaupun terdapat cabaran dan ketidakpastian yang berterusan.”
“Ini juga menyokong penerimaan positif terhadap rancangan industri baharu kami untuk elektrifikasi rangkaian produk kami pada masa depan, di mana kami akan melabur lebih daripada 1.5 bilion euro (RM7.4 bilion) menjelang 2024,” tambah beliau.
Dari segi model, Urus terus kekal sebagai produk terlaris Lamborghini dengan jualan sebanyak 2,796 unit (+ 35 peratus), diikuti dengan Huracan dengan 1,532 unit (+ 46 peratus) dan Aventador dengan 524 unit (+21 peratus).
Untuk pasaran pula, Amerika Syarikat sekali lagi menduduki tangga pertama dengan jualan mencecah 1,502 unit, diikuti dengan China, Hong Kong dan Macau dengan jualan keseluruhan sebanyak 602 unit, Jerman di tempat ketiga dengan 391 unit, UK dengan 318 unit, Jepun dengan 258 unit, Timur Tengah dengan 226 unit dan Itali dengan 197 unit.
No Comment