Land Rover Defender Trophy Edition Model Khas Untuk Amerika Utara
Pada Februari lalu, kita telah diperkenalkan dengan Defender Works V8 Trophy, sebuah model edisi terhad yang dihasilkan sebagai tribut kepada legasi ekspedisi Defender yang asal. Kini, Land Rover memperkenalkan pula versi Trophy untuk Defender baharu yang akan ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Amerika Utara pada harga $90,000 (RM380,925) seunit.
Terhad kepada 220 unit dan dibina berasaskan varian 110 P400 X-Dynamic SE, Defender Trophy Edition cukup lengkap dengan ciri-ciri lasak seperti ‘tow hitch receiver’, sistem suspensi udara, pakej Cold Climate, serta pakej Off-Road dan Advanced Off-Road Capability.
Turut disertakan adalah rak bumbung ekspedisi, perlindungan bawah badan, tangga yang boleh dilipat, ‘mudguard’, dan pemampat udara terintegrasi. Sistem takal juga boleh dipasang di wakil pengedar sah Land Rover, namun jumlahnya agak terhad.
Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan skrin sentuh berukuran 11.4 inci yang membolehkan pemandu mengakses sistem ClearSight RearView, serta tikar getah.
Dari segi penampilan pula, Defender Trophy Edition kelihatan tidak ubah seperti Defender Works V8 Trophy dengan balutan (wrap) kuning hitam, serta logo Land Rover Trophy klasik pada kedua-dua pintu hadapan.
Apa yang menarik, setiap pembelian Defender Trophy Edition disertakan dengan jemputan untuk menyertai pertandingan off-road U.S. Trophy Competition di Biltmore Estate di Asheville, North Carolina pada Oktober depan. Bagaimanapun, penyertaan terhad kepada 90 pasukan sahaja. Pemenang acara ini akan layak menyertai The Land Rover Trophy Competition di Eastoner Castle, UK pada tahun hadapan.
No Comment