MINI John Cooper Works 3 Door Facelift Kini Di Malaysia
Selepas melancarkan MINI 3 Door, 5 Door dan Convertible versi facelift pada awal bulan lalu, MINI Malaysia kini kembali dengan versi berprestasi tinggi iaitu John Cooper Works (JCW). Seperti sebelum ini, ia hanya boleh didapati dalam bentuk badan 3 Door.
Perubahan visual yang ditampilkan sama seperti apa yang terdapat model bukan JCW. Ini termasuk gril radiator baharu berbentuk heksagon yang lebih besar dan perumah berwarna hitam untuk lampu adaptif LED di hadapan dan lampu ‘Union Jack’ di belakang. Identiti sporty jentera ini diperhebatkan lagi menerusi kehadiran lubang penyejukan udara dan ‘diffuser’ pada bampar belakang.
Di dalam, JCW 3 Door menampilkan stereng yang diberikan rekaan baharu, kemasan MINI Yours Aluminium Interior Surface, serta gubahan dekor dan corong pendingin hawa baharu. Tempat duduk sport pula dibalut dengan upholsteri kulit Dinamica.
Antara kelengkapan yang disertakan secara standard adalah skrin sentuh berukuran 8.8 inci dengan grafik yang lebih moden dan intuitif, fungsi Live Widget yang boleh digunakan dengan menggeselkan jari pada paparan skrin sentuh, serta kluster intstrumen digital lima inci yang terletak di belakang stereng.
Selain itu, terdapat juga papar pandu (head-up display), sistem Comfort Access, sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara serta bumbung panoramik. Ciri Colour Worlds pula mewujudkan suasana pemanduan lebih menarik berdasarkan mod yang dipilih. Lounge menyerlahkan warna biru dan firus (turquoise) manakala Sports pula memancarkan warna merah dan antrasit.
Di bawah hud, enjin turbo 2.0-liter empat silinder menghasilkan 231 hp dan 320 Nm. Kuasa ini seterusnya disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, sekaligus membolehkan JCW 3 Door memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 246 km/j.
Sistem brek Brembo yang merangkumi angkup empat piston dan cakera ventilasi memberikan hatchback ini kuasa membrek yang secukupnya, manakala sistem suspensi adaptif dengan teknologi redaman selektif frekuensi, Dynamic Stability Control dan stereng elektromekanik memastikan ia mampu beraksi di selekoh dengan lebih meyakinkan.
Dari segi keselamatan, JCW 3 Door didatangkan standard dengan ciri Bantuan Memandu (Driving Assistant) yang merangkumi ciri bantuan lampu puncak, info had kelajuan, amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan, serta amaran kawalan penghampiran objek, juga dengan fungsi pembrekan ringan. Buat pertama kalinya juga, terdapat ciri Bantuan Parkir (Parking Assistant) yang digandingkan dengan Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning).
Ia dijual pada harga RM311,259.49 (selepas pengecualian SST) dengan waranti tanpa had perbatuan bertempoh empat tahun dan pakej servis berjadual.
No Comment