Berita Auto

MINI John Cooper Works Countryman Facelift Dilancarkan Di Malaysia

Di samping John Cooper Works 3 Door, MINI Malaysia turut melancarkan satu lagi model yang memakai lencana JCW iaitu Countryman. Ia secara asasnya adalah versi berprestasi tinggi kepada model facelift yang memasuki pasaran Malaysia pada Februari lalu.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-3

JCW Countryman turut dikuasakan oleh enjin turbo empat silinder berkapasiti 2.0-liter namun ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi iaitu 306 hp dan 450 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.1 saat, manakala kelajuan maksimum yang dicatatkan adalah 250 km/j.

Prestasinya disempurnakan lagi dengan kehadiran Kawalan Stabiliti Dinamik (Dynamic Stability Control), stering elektromekanik, suspensi adaptif dan sistem brek sport.

Dari segi penggayaan, rekaan yang diperkenalkan menerusi model facelift sebelum ini diperhalusi dengan elemen-elemen sporty seperti komponen baharu pada gril radiator dan trim Piano Black yang memberikan kemasan hitam berglos pada hendal pintu, logo MINI, serta jata model.

Di dalam, selain stereng baharu, ciri pencahayaan Colour Worlds, MINI Yours Illuminated Interior Surface, upholsteri kulit Dinamic, papar pandu (head-up display) dan bumbung panoramik, model ini hadir dengan skrin sentuh berukuran 8.8 inci yang dikelilingi bezel hitam berkilat serta paparan instrumen digital bersaiz lima inci.

Seperti JCW 3 Door, JCW Countryman juga dilengkapi dengan sistem Bantuan Memandu (Driving Assistant) yang membawakan ciri bantuan lampu puncak, info had kelajuan, amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan, serta amaran kawalan penghampiran objek, juga dengan fungsi pembrekan ringan.

JCW Countryman facelift dijual pada harga RM383,463.07 selepas pengecualian SST. Harga yang diberikan adalah termasuk waranti tanpa had perbatuan bertempoh empat tahun dan servis berjadual.

Previous post

MINI John Cooper Works 3 Door Facelift Kini Di Malaysia

Next post

Fiat 500X Yachting Ambil Inspirasi Kapal Layar Mewah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *