PKP Berpanjangan Jejas Jualan UMW Toyota Motor, TGR Festival Terus Ditangguhkan
Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak 1 Jun 2021, banyak operasi sektor perniagaan perlu ditutup. Hal ini juga telah memberi kesan kepada sektor automotif, mengakibatkan jualan kenderaan baru seluruh industri merudum bagi bulan Jun.
Mengulas situasi berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K. berkata, penutupan berterusan semua bilik pameran Toyota dan Lexus di seluruh negara bermakna tiada perniagaan yang boleh dilakukan. Dalam masa yang sama, pengeluaran kenderaan termasuk rantaian bekalan serta logistik juga perlu dihentikan sementara.
“Kami masih mempunyai himpunan tempahan yang menggalakkan untuk pelbagai model. Walaupun begitu, kami berharap agar larangan pergerakan dapat dilonggarkan untuk membolehkan kami beroperasi dalam kapasiti terhad dan selamat. Kami selalu mematuhi semua SOP yang ditetapkan, seperti yang telah ditunjukkan tahun lalu,” ujarnya.
Pelanggan bagaimanapun masih boleh mendapatkan perincian berkaitan model-model Toyota dan Lexus melalui laman web masing-masing. Mereka boleh mengetahui lebih lanjut tentang model-model yang ditawarkan di Malaysia, pelan pembiayaan menarik, serta membuat tempahan secara dalam talian.
Ravindran K. turut mengingatkan pelanggan berkaitan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah dilanjutkan hingga penghujung 2021 ini.
Bagi sokongan lepas jualan pula, beberapa pusat servis UMW Toyota Motor terpilih terus beroperasi mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ini bagi memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan. Pelanggan dinasihatkan agar menghubungi pusat servis terlebih dahulu untuk membuat temujanji.
Bantuan 24/7 juga tersedia dan boleh didapati dengan menghubungi masing-masing di talian 1-800-888-247 (Toyota) dan 1800-225- 3987 (Lexus).
Sementara itu, acara Festival Toyota Gazoo Racing (TGR Festival) dan Vios Challenge musim keempat juga terpaksa ditangguhkan sementara akibat situasi pandemik dan PKP ketika ini yang tidak mengizinkan penganjuran acara umum secara terbuka.
“Ketika kami menganjurkan pusingan pertama yang mengujakan pada 2 Mac lalu di Litar Sepang, kami tidak sabar untuk membawakan pula pusingan kedua serta pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang merupakan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia.
No Comment