Range Rover Evoque L Dilancarkan Di China
Saban tahun, pasti ada model versi tapak roda panjang (long wheelbase atau LWB) yang dihasilkan khusus untuk pasaran China. Ini kerana pembeli kereta di sana, terutamanya mereka yang dari golongan berada, memandang ruang lega kaki belakang sebagai salah satu faktor terpenting semasa membuat pembelian.
Ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk jenama mewah seperti BMW dan Mercedes-Benz memperkenalkan model limosin seperti 3 Series dan C-Class versi LWB untuk menarik minat pembeli di negara itu, namun kini, tiba giliran Land Rover pula untuk melancarkan penawaran mereka iaitu Range Rover Evoque L.
Dengan ukuran panjang mencecah 4,531 mm, Evoque L mempunyai badan yang jelas lebih panjang jika dibandingkan dengan Evoque standard yang mempunyai ukuran 4,371 mm. Sudah tentu, ini bermakna model unik ini mempunyai ruang lega kaki belakang yang lebih besar, yang mana menurut Land Rover, meningkat sebanyak 125 mm.
Dengan penambahan ini, penumpang belakang kini boleh meregangkan kaki mereka lebih jauh dengan menggunakan ciri pelarasan elektrik yang membolehkan kerusi belakang dibaringkan sehingga tujuh darjah.
Dari segi sistem infohibur, Evoque L juga dilengkapi dengan sistem InControl OS 2.0 yang merangkumi dua skrin sentuh berukuran 10.2 inci, satu pada papan pemuka dan satu lagi pada konsol tengah. Sementara itu, panel instrumen pula terdiri daripada skrin LCD penuh berukuran 12.3 inci. Turut disertakan adalah bumbung kaca panoramik yang boleh dibuka.
Selain itu, Evoque L didatangkan standard dengan kit badan R-Dynamic yang dipadankan dengan rim berukuran 20 inci. Model ini didatangkan dengan harga jualan bermula dari 430,000 yuan (sekitar RM279,900). Setakat ini, tidak dapat dipastikan jika ia akan ditawarkan di pasaran luar China.
No Comment