Volvo Concept Recharge Manifesto Masa Depan Elektrik
Volvo telah membuka lembaran baharu dalam sejarahnya dengan mendedahkan Concept Recharge yang merupakan bayangan pengganti XC90 yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan. Model elektrik sepenuhnya ini juga akan mengepalai barisan kenderaan elektrik generasi baharu dari jenama itu.
Menurut Volvo, Concept Recharge direka berdasarkan falsafah ‘kurang tetapi lebih baik’ (less but better) yang dikatakan menawarkan kecekapan aerodinamik yang lebih baik serta memaksimumkan penggunaan ruang kabin.
Sebagai contoh, gril tradisional telah digantikan dengan struktur tertutup seperti perisai, manakala di belakang pula terdapat ‘sayap’ yang akan naik apabila kenderaan mencapai kelajuan melayar yang tinggi untuk memperbaiki aerodinamik keseluruhan. Model ini juga mempunyai lampu Thor Hammer baharu dengan teknologi definis tinggi (HD).
Penggunaan platform elektrik tulen serta ketiadaan enjin pembakaran dalam membolehkan Volvo meletakkan pak bateri di bawah lantai yang rata dan memanjangkan tapak roda, sekaligus menghasilkan ruang dalaman yang lebih luas untuk penumpang.
Bukan itu sahaja, kelebihan ini juga membolehkan pasukan reka bentuk Volvo menghasilkan reka bentuk yang lebih aerodinamik berbanding SUV biasa dan pada masa yang sama memposisikan semula tempat duduk untuk mengekalkan titik penglihatan yang tinggi seperti yang digemari oleh pemilik-pemilik SUV sedia ada Volvo.
Dari segi kelengkapan, Concept Recharge didatangkan dengan skrin sentuh berukuran 15 inci sebagai titik akses kepada sistem infohibur baharu Volvo yang dikatakan lebih logikal dan intuitif. Dari segi keselamatan pula, ia dilengkapi dengan sensor LiDar yang merupakan elemen utama dalam teknologi pemanduan autonomi. Dibangunkan oleh Luminar, sensor ini diletakkan di atas bumbung untuk mengumpul data di sekeliling kenderaan.
No Comment