Audi RS3 Sedan Pecah Rekod Kelas Kompak Di Nurburgring
Audi RS3 yang diperkenalkan dua minggu lalu kini secara rasminya dinobat sebagai kereta kompak terpantas di litar Nürburgring Nordschleife.
Dipandu oleh bekas pelumba Audi DTM Frank Stippler, sedan berprestasi tinggi itu berjaya mengelilingi litar sepanjang 20.8 km itu dalam masa 7 minit 40.748 saat. Rekod baharu ini meletakkan RS3 Sedan 4.64 saat di hadapan pemegang rekod terdahulu iaitu Renault Megane RS Trophy-R.
Jentera berkenaan masih memakai pelekat penyamaran kerana rekod tersebut dilakukan pada Jun lalu, kira-kira sebulan sebelum ia diperkenalkan secara rasmi. Untuk percubaan itu, sedan tersebut menggunakan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R yang ditawarkan secara opsyen, dengan tekanan angin yang spesifik untuk litar berkenaan.
Ia juga dilengkapi dengan sistem brek seramik berukuran 19 inci di hadapan dan RS Sport Suspension Plus dengan kawalan peredam adaptif yang bertindak untuk menyesuaikan setiap penyerap hentak mengikut keadaan permukaan jalan dan mod pemanduan yang dipilih.
Selain itu, Stippler berkata gabungan sistem Torque Splitter dan mod pemanduan RS Performance banyak membantu RS3 Sedan dalam aspek pengendalian. Torque Splitter ditugaskan untuk mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan di belakang dengan menyalurkan lebih banyak tork kepada roda yang berada di sebelah luar selekoh.
Ini bermakna di selekoh kanan, lebih banyak tork akan disalurkan ke roda kiri belakang manakala di selekoh kiri pula, lebih banyak tork akan disalurkan ke roda kanan belakang. Ini membolehkan RS3 masuk ke selekoh dengan lebih baik, dengan sudut stereng yang lebih tepat.
Sementara itu, mod RS Performance pula memberikan kalibrasi enjin dan transmisi khusus untuk pemanduan di litar lumba. Ia mempunyai dua tetapan untuk litar yang berbeza iaitu tetapan yang lebih selesa untuk litar yang mempunyai permukaan tidak rata seperti Nordschleife, dan tetapan yang lebih agresif untuk litar yang rata seperti Hockenheimring.
Sudah tentu, rekod ini tidak boleh dicapai tanpa enjin yang berkuasa. RS3 dikuasakan oleh enjin turbo 2.5-liter lima silinder sebaris yang menghasilkan 400 PS dan 500 Nm. Dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 290 km/j dengan pakej RS Dynamic.
No Comment