BMW i4 M50 Kereta Keselamatan Kejohanan MotoE
FIM Enel MotoE World Cup atau lebih dikenali sebagai MotoE merupakan kejohanan perlumbaan motosikal elektrik yang diadakan sebagai program sokongan untuk MotoGP sejak 2019. Bermula 15 Ogos ini di Grand Prix Austria yang diadakan di Litar Red Bull Ring, kejohanan itu akan menampilkan BMW i4 M50 sebagai keselamatan baharu yang menggantikan i8.
Bakal dilancarkan ke pasaran pada November tahun ini, i4 M50 merupakan sedan elektrik sepenuhnya yang dilengkapi dengan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan mencecah 544 PS dan 795 Nm. Ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat, dengan kelajuan maksimum 225 km/j.
Selain pacuan semua roda, ia juga menerima beberapa naik taraf daripada divisyen M seperti teknologi casis spesifik-M, brek yang lebih besar dan ciri aerodinamik yang ditambah baik. Semua ini penting bagi memastikan ia dapat menggalas tugasnya sebagai kereta keselamatan dengan efektif.
Sudah tentu, ia tidak mempunyai ngauman enjin yang memukau seperti model-model BMW M yang lain, namun bagi memastikan pemandu dapat menikmati pengalaman pemanduan yang mengujakan, BMW telah menghasilkan runut bunyi yang menarik menerusi kerjasama dengan komposer terkenal, Hans Zimmer.
“Dengan BMW i4 M50, kami memasuki era baharu dan memperkenalkan kereta M pertama kami dengan pacuan elektrik sepenuhnya,” kata Markus Flasch, Ketua Pegawai Eksekutif BMW M GmbH.
No Comment